Hasil inisiatif bersepadu KPT – RHB Islamic Bank, ini manfaat yang 550,000 pelajar IPTA dapat
Inisiatif bersepadu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama RHB Islamic Bank Berhad membolehkan kira-kira 550,000 pelajar di 20 universiti awam seluruh negara mendapat manfaat penggunaan Kad MySiswa.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pelancaran kad itu secara rasmi semalam menepati matlamat KPT untuk memperkasa dan memartabatkan pelajar universiti menerusi transformasi kad matrik sedia ada menjadi sekeping kad pintar pelbagai fungsi.
“Antara kelebihan kad ini ia boleh menjadi kad debit bank, kad akses kepada kemudahan dan fungsi dalaman kampus yang bersepadu seperti sistem kehadiran, sistem perpustakaan malah ia turut dilengkapi dengan kemudahan e-dompet.
“Selain itu, Kad MySiswa akan berfungsi sebagai kad promosi dan diskaun yang melayakkan pemegangnya menikmati pelbagai tawaran istimewa, potongan harga serta rebat sama ada di dalam mahu pun di luar kampus,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas perasmian Semarak Ramadan KPT@ UniMAP dan Majlis Peluncuran Kad MySiswa di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Kampus Pauh Putra, semalam.
Kad MySiswa yang dilaksanakan sejak Mac tahun lalu merupakan inisiatif bersepadu KPT bersama RHB Islamic Bank Berhad selaku rakan strategik pelaksana.
Ia sebagai komitmen dalam mendukung Agenda Pemerkasaan Mahasiswa yang turut berpotensi memartabatkan gaya hidup mereka.
BACA JUGA KK Mart, Xin Jiang Chang akan berdepan pertuduhan jenayah