Sanusi mengaku beli kereta baharu

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor mengaku beli kereta baharu lantaran dua kereta yang dibeli oleh Menteri Besar Kedah sebelum-sebelum ini kerap rosak.

Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri berkata, kereta-kereta itu dipakainya sejak tahun 2020.

“Sejak saya jadi Menteri Besar, saya pakai kereta yang dibeli oleh Ustaz Azizan tahun 2012 dan kereta yang dibeli oleh Mukhriz tahun 2014 kot… Mercedes.

“Mercedes ni bila sampai satu peringkat dia tidak ekonomik lagi tapi kita baiki juga pasal nampak macam elok

Absober pun mahal. Sekali repair, RM40,000 – RM50,000. Jadi, tak ekonomik untuk kita gasak dia,” katanya dalam satu ucapan yang dikongsikan Sanusi di TikTok.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas itu malah menganggap orang lain boleh mengaku kalah untuk menjadi Menteri Besar memandangkan terlalu banyak bergerak dengan menaiki kereta.

Atas alasan itu, Sanusi kata sebuah kereta yang lasak amat diperlukan.

“Kalau tengok pergerakan saya sebagai Menteri Besar, tuan-tuan pun boleh surrender. Tak boleh pi.

“Sebulan berapa puluh ribu kilometer perjalanan. Jadi, kena ada kereta yang lasak sikit. Kerajaan buat keputusan beli kereta selepas empat tahun saya jadi MB,” ujarnya.

Terdahulu, heboh di media sosial isu kenderaan utiliti sukan (SUV) buatan Korea Selatan jenis Hyundai Palisade digunakan Sanusi dengan nombor pendaftaran KCX8.

Dalam masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri berkenaan menegaskan bahawa kenderaan yang dibeli itu hanya “kereta biasa” bukannya beli kereta kategori mewah.

Malah, katanya, dia sendiri mampu beli kenderaan yang sama bukan hanya sebuah malah dua unit sekaligus.

“Bukan beli kereta mewah-mewah. Kereta biasa je.

“Kalau saya nak beli sendiri pun saya ada duit, saya boleh beli. Dua biji saya boleh beli. Tak mahal sangat pun.

“Tapi kerajaan beli, saya naiklah,” katanya sambil tergelak.

Semakan Harapan Daily mendapati harga jualan Hyundai Palisade di negara ini antara RM 368,888 hingga RM 399,888 dan boleh didapati dalam lapan warna dan empat varian.

BACA JUGA Gerakan boikot berjaya, Starbucks kini dalam kerugian besar