3 sebab Malaysia jadi rebutan kuasa ekonomi dunia

Malaysia muncul menjadi rebutan kuasa ekonomi dunia atas tiga sebab.

Pertama, Malaysia mengeluarkan minyak mentah paling berkualiti di dunia.

Kualiti minyak mentah secara asasnya diukur berdasarkan kepada kandungan sulfur dan berat atau API Gravity.

Semakin rendah kandungan sulfur dan ringan berat minyak mentah tersebut, semakin tinggi kualitinya dan semakin mahal.

Tidak hairanlah, Petronas mengekalkan rekod prestasinya selama 13 tahun sebagai jenama paling bernilai Asean sejak 2011.

Menurut laporan Brand Finance Global 500 bagi tahun 2024, Petronas melonjak 13 anak tangga ke kedudukan ke-141 daripada 500 jenama paling berharga di dunia.

Kedua, Malaysia merupakan antara negara pengeluar getah utama dunia. Produk getah Malaysia kini dieksport ke 189 negara di seluruh dunia.

Terdapat lebih daripada 185 syarikat yang menghasilkan pelbagai jenis produk getah seperti pemasangan, tali pinggang, hos, tiub, meterai dan lembaran untuk industri automotif, E&E, mesin & peralatan dan pembinaan untuk pasaran domestik dan global.

Ketiga, Malaysia mula menjadi pengeluar semikonduktor yang kompetitif. Negara ini berkedudukan penting dalam rantaian bekalan pembuatan cip global.

Industri semikonduktor Malaysia merangkumi tujuh peratus daripada bahagian pasaran global selain turut menyumbang 23 peratus daripada perdagangan semikonduktor Amerika Syarikat (AS).

Sektor semikonduktor serta elektrikal dan elektronik (E&E) menjadi tumpuan penting di bawah Pelan Induk Perindustrian Bahru 2030 (NIP 2030).

Mengulas mengenai tiga kekuatan sumber ekonomi Malaysia itu, seorang pemerhati geopolitik, GeoHussar berpendapat bahawa China, AS, dan India saling bersaing ‘berebutkan’ Malaysia.

PM Anwar melakukan kunjungan hormat ke atas Premier Republik Rakyat China, Li Qiang.

Malaysia di bawah pentadbiran kerajaan MADANI diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan hubungan kukuh dengan China dan AS tanpa didesak untuk memilih satu pihak berbanding yang lain.

Pembabitan kedua-dua kuasa besar itu memberi Malaysia ruang yang lebih strategik untuk memajukan kepentingan nasionalnya.

Sementara itu, hubungan dua hala Malaysia dan India yang semakin kukuh membuka peluang baharu kepada kedua-dua negara terutama dalam ekonomi digital terutamanya Teknologi Maklumat (IT) 2.0.

Berbanding IT 1.0, konsep IT 2.0 membabitkan kecerdasan buatan (AI), Internet Pelbagai Perkara (IoT) dan pengkomputeran awan.

Dalam masa sama, dalam sektor tradisional seperti minyak sawit, India merupakan pengimport terbesar minyak sawit mentah (CPO) Malaysia membabitkan sejumlah empat juta tan metrik setahun.

Malah, jumlah itu pada tahun lalu tidak mencukupi dan India mahu lebih banyak CPO dari Malaysia dengan peningkatan kepada enam juta tan metrik.

BACA JUGA “Mana hati perut hangpa?”, lelaki kesal Sanusi label pekerja KAHB sebagai lintah