Mulanya dijangka selesai 2023 sambung ke 2028, bukan air Kelantan bermasalah tapi pemimpinnya

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man semasa menjadi Menteri Alam Sekitar dan Air berkata Kelantan dijangka menerima bekalan air yang sempurna menjelang 2023.

Namun, malam tadi, rakyat Kelantan yang setia puluhan tahun kepada Pas itu nampaknya perlu terus bersabar tahun berganti tahun.

Kerajaan negeri memberi jaminan masalah bekalan air di Kelantan dijangka selesai sepenuhnya pada 2028.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Kelantan, Datuk Dr Izani Husin memberi jaminan terkini itu ketika ditemui media pada Majlis Berbuka Puasa Bersama ECRL di Hotel Perdana di Kota Bharu, malam tadi.

Izani malah menambah hanya 20 peratus kawasan di Kelantan yang berdepan masalah air, bukannya sebahagian besar seperti yang didakwa pelbagai pihak.

Justeru, dia yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang di Pengkalan Chepa itu berharap penduduk yang berdepan masalah air supaya bersabar untuk sedikit masa sahaja lagi sebelum ia diselesaikan sepenuhnya.

“Kita jangkakan pada 2028, Kelantan akan mengalami lebihan air sekali gus masalah bekalan air dapat diselesaikan.

“Ini kerana semua loji yang kini dalam pembinaan dan penambahbaikan akan siap sepenuhnya pada akhir 2027.

“Pada masa sama, kita sudah mengenalpasti paip yang perlu ditukar iaitu sepanjang 5,000 kilometer (km), manakala yang perlu ditukar segera adalah sepanjang 1,000 km,” katanya, dipetik BH.

Tuan Ibrahim Tuan Man

Pada 10 September 2020 ketika Pas berada dalam pentadbiran kerajaan ‘Tebuk Atap’, Tuan Ibrahim pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara berkata, Kelantan menerima bekalan air yang sempurna menjelang 2023.

Jelas Tuan Ibrahim ketika itu, terdapat proses pembesaran dan naik taraf di beberapa loji air utama yang sedang dilaksana di Kelantan di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).

“Isu besar yang berlaku di Kelantan adalah masalah sumber air, (serta) pengambilan sumber air bawah tanah lebih daripada 50 peratus dan menyebabkan kos rawatan sangat tinggi.

“Kerajaan telah pun meluluskan peruntukan baharu untuk kita membuat penambahan (dan) pembesaran loji di Kelantan dan pengurangan NRW (kadar air tidak terhasil) yang agak tinggi di Kelantan,” kata Tuan Ibrahim, empat tahun lalu.

BACA JUGA Gerakan boikot berjaya, Starbucks kini dalam kerugian besar