Singapura arah Kedutaan Israel padam catatan biadab tentang Palestin, al-Quran

Kedutaan Israel di Singapura akur dengan arahan pemerintah negara jiran Malaysia itu yang menuntut supaya memadamkan catatan kontroversi tentang Palestin di Facebook.

Siaran kedutaan di media sosial itu pada akhir minggu lalu mendakwa Israel disebut 43 kali dalam al-Quran manakala ‘Palestin tidak disebut walaupun sekali’.

Catatan itu seterusnya mengatakan bahawa bukti arkeologi seperti peta, dokumen dan wang syiling menunjukkan bahawa orang Yahudi adalah penduduk asli Israel.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam hari ini dilapor berkata, beliau memaklumkan kepada Kementerian Luar supaya segera bertindak.

Beliau menyifatkan hantaran di media sosial itu sebagai ‘tidak sensitif’, ‘tidak sesuai’ dan ‘percubaan untuk menulis semula sejarah’.

“Catatan ‘tidak peka’ yang berpotensi mencetuskan ketegangan itu sememangnya tidak boleh diterima.

“Ia berisiko mengancam keselamatan dan keharmonian di Singapura.

“Saya amat kecewa apabila dimaklumkan tentang perkara tersebut,” katanya, lapor Agensi.

BACA JUGA KK Mart, pembekal stoking dihadap ke mahkamah esok pagi