Stokingate: Mencari kewarasan daripada al-Quran (Bahagian 1)

Oleh ROZHAN OTHMAN

Isu stokingate kini telah sampai ke tahap menimbulkan ketegangan dalam masyarakat. Ummat Islam di Malaysia terbahagi kepada mereka yang ingin mengambil tindakan yang keras serta bengis dan mereka yang ingin bertindak lebih munasabah.

Kebengisan yang timbul telah sampai pada tahap di mana mereka yang ingin bertindak lebih munasabah dituduh sebagai liberal dan munafiq.

Kita harus bertanya apakah tiada langsung pengajaran dan petunjuk dalam al-Quran dalam menangani keadaan sebegini?

Atau kita harus membiarkan tindak-tanduk kita ditentukan oleh ahli-ahli politik sambal belacan dan pengulas-pengulas media sosial sambal tempoyak?

Adakah dalam “mempertahankan kesucian Islam” kita mengenepikan sama sekali ajaran Islam dan bertindak mengikut nafsu dan prejudis?

Allah s.w.t. menyebut dalam Surah Al Maidah ayat 8:

“Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan.”

Kebencian, kemarahan, serta permusuhan mudah mendorong seorang berlaku tidak adil.

Kita lebih mudah berlaku adil dengan orang yang seperti kita, yang kita sukai serta yang setuju dengan kita.

Namun, Allah SWT mengingatkan kita dalam berurusan dengan mereka yang kita benci pun kita perlu adil. Apatah lagi bila menghadapi kekhilafan dengan rakan senegara.

Selepas pihak pengurusan KK Mart meminta maaf di atas peristiwa yang berlaku, ramai pula mengulas bahawa tindakan KK Mart menjual stoking berkenaan adalah “disengajakan” dan “untuk mencabar ummat Islam”.

Kenyataan-kenyataan sebegini berandaikan para pengulas dapat membaca niat yang tersemat dalam hati orang lain. Dan kesimpulan ini dibuat walaupun pihak berkuasa baru hendak memulakan siasatan.

Allah SWT memesan kepada kita dalam ayat 6 surah Al Hujurat:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Walaupun ayat ini menyebut mengenai berita daripada orang fasiq, ayat ini diturunkan apabila seorang sahabat, Al Walid ibn Uqbah, membawa berita bahawa Banu Mustaliq enggan membayar zakat dan berhasrat hendak membunuhnya.

Rasulullah s.a.w. tidak tergesa-gesa bertindak bila mendengar berita ini. Sebaliknya, baginda menghantar sahabat lain untuk bertemu Banu Mustaliq dan mendapatkan penjelasan daripada mereka. Sahabat ini mendapati dakwaan Al Walid tidak benar.

Pengajaran dari peristiwa ini ialah kita tidak boleh terburu-buru bertindak apabila mendengar sesuatu berita. Sebaliknya, kita perlu menyiasat dahulu apa yang sebenarnya berlaku.

Jika kita ingin kembali kepada Al Quran dan manfaatkan pengajaran daripada ayat 8 Surah Al Maidah dan ayat 6 surat Al Hujurat, nyata sekali tanggungjawab berlaku adil dan menyiasat dahulu adalah pada mereka yang ingin bertindak.

Demikian juga, kita tidak boleh mengandaikan kita mengetahui niat seseorang.

Tidak ikhlas

Satu peristiwa yang dicatat di dalam Riyadhus Salihin melibatkan tindakan Usamah ibn Zaid dalam satu pertempuran seharusnya dijadikan pengajaran.

Usamah telah mengejar seorang askar musuh yang telah membunuh beberapa orang askar Islam. Apabila dia hendak mengangkat lembingnya untuk membunuh askar musuh itu, askar it mengucap shahadah.

Namun, Usamah terus membunuh askar itu kerana pada pandangannya askar musuh itu tidak ikhlas dan ingin mengelak dari dibunuh.

Selepas pertempuran itu, Usamah berasa tidak sedap hati dan telah memberitahu Rasulullah s.a.w. mengenai apa yang berlaku. Rasulullah s.a.w. telah memarahinya.

Usamah telah cuba mempertahankan tindakannya dengan menyatakan bahawa askar berkenaan tidak ikhlas.

Lalu Rasulullah s.a.w. bertanya kepada Usamah, “Kenapakah kamu tidak membelah badannya dan melihat hatinya untuk mengetahui sama ada dia ikhlas atau tidak?”

Jika dalam kehangatan perang pun Rasulullah s.a.w. melarang kita daripada mengandaikan niat seseorang, apatah pula dalam isu dalam suasana dalam keadaan aman.

Sebagai manusia biasa kita hanya boleh menilai apa yang zahir dan menyerahkan kepada Allah niat seseorang.

Bagaimana pula kita boleh mengandaikan sesuatu itu “disengajakan” atau “untuk mencabar ummat Islam”? Apatah lagi bila siasatan pun belum selesai.

Ayat 125 Surah An Nahl meletakkan asas akhlak yang mesti menjadi pedoman setiap Muslim. Allah s.w.t. berfirman:

“Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

Ayat ini turut menyebut bahawa dalam melakukan perbahasan pun harus dilakukan dengan lebih baik (perkataan yang digunakan dalam ayat di atas ialah “ahsan” yang memberi pengertian tahap kebaikan yang tinggi).

Mungkin akan ada yang berpendapat panduan ini tidak boleh diguna apabila kita dimusuhi atau agama kita dihina.

Namun, ayat 34 Surah Al Fussilat mengingatkan kita mengenai cara mengendalikan mereka yang memusuhi kita:

“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.”

Ayat ini jelas membezakan di antara perbuataan baik atau hasanah dan perbuatan jahat atau sayyi`ah. Dan kita disuruh meredakan tindakan tidak baik dengan kebaikan.

Pada ayat 17 Surah An Naziat pula Allah s.w.t. menyifatkan Firaun sebagai “tagha” atau “taghut”, iaitu, seorang yang melampaui batas.

Malahan, surah ini juga menyebut bahawa Firaun mendakwa dia adalah tuhan yang tinggi (ayat 24).

Namun, Allah s.w.t. tidak menyuruh Musa a.s. untuk mengecam Firaun.

Allah tidak menyuruh Musa berkata, “Cis Firaun, engkau celaka dan kurang ajar”, atau “Wahai Firaun, engkau biadap dan tidak sensitif” atau “Lahawau engkau Firaun, engkau mencabar Allah dengan mengisytihar dirimu tuhan”.

Sebaliknya, dalam ayat 18, Allah s.w.t. menyuruh Musa a.s. untuk berkata:
“Serta katakanlah kepadanya: `Adakah engkau suka hendak mensucikan dirimu (dari kekufuran)?”

Bahasa yang Allah s.w.t. suruh Musa a.s. gunakan ketika berdepan dengan Firaun sangat lembut, sopan dan beradab walaupun Firaun dianggap sebagai taghut yang mengaku dirinya tuhan.

Jika kita ingin mengukur penderhakaan Firaun sudah tentu ia mencapai 10 dalam skala penderhakaan.

Berapa agaknya ukuran yang harus diberikan pada kesilapan KK Mart dalam isu Stokingate?

Jika Allah menyuruh Musa a.s. bertanya Firaun secara sopan dan lembut, bagaimana pula cara yang harus kita berbicara dengan KK Mart?

BACA JUGA Benarkah tiada lagi Khawarij selepas zaman Saidina Ali?