Air Kelantan: ‘Tak fahamlah kenapa nak tunggu sampai tiga tahun?’
Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam hari ini menzahirkan rasa hairan berhubung masalah bekalan air bersih yang membelenggu penduduk di Kelantan.
”Saya rasa kita sudah tunggu berpuluh-puluh tahun kerajaan negeri Kelantan menyelesaikan masalah air ini.
”Tahun lepas, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun dah bagi peruntukan yang cukup besar untuk Kelantan.
”Jadi, saya tak fahamlah kenapa mereka nak kena tunggu sampai tiga tahun baru nak selesaikan masalah air di negeri Kelantan?,” soal beliau dalam satu video, dimuat naik di Facebook miliknya, hari ini.
Lokman yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berharap, rakyat di negeri berkenaan dapat menilai sama ada kerajaan negeri serius atau sebaliknya untuk menyelesaikan isu air di sana.
Dalam isu air itu katanya, beliau merasakan rakyat di Kelantan yang sudah lebih 30 tahun dikuasai Pas tidak mampu untuk menunggu sehingga tiga tahun lagi.
”Tak lama lagi orang balik raya. Kalau tahun lepas, kita lihat kebanyakan orang-orang Kelantan ini, mereka balik ke kampung tapi tidak tidur di rumah mak ayah.
”Mereka tidur di hotel. Itu pun hotel tak cukup… penuh. Diharap tak perlulah tunggu sampai tiga tahun (nak selesaikan masalah air).
”Bila kerajaan pusat bagi duit untuk selesaikan masalah air, gunakanlah duit itu sehabis baik untuk selesaikannya,” katanya lagi.
Semalam, dilaporkan bahawa rakyat Kelantan diminta bersabar untuk tempoh tiga tahun lagi apabila masalah air yang melanda negeri itu, lebih 20 tahun lalu akan selesai sepenuhnya pada 2027.
Exco Jawantankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin berkata, hal ini kerana semua loji yang dinaik taraf dan dibina akan siap sepenuhnya pada tahun tersebut, sekali gus mempunyai lebihan bekalan air.
Menurut beliau, kerajaan negeri ketika ini dalam perancangan untuk melaksanakan kerja-kerja menukar paip lama yang sudah reput dan tidak mampu bertahan lagi sejauh 5,000 kilometer (km) secara beransur-ansur.
BACA JUGA Diancam saman, individu balas “kami tak sembunyi pun Sanusi oii…”