Diancam saman, individu balas “kami tak sembunyi pun Sanusi oii…”

Isu Kedah Agro Holdings Berhad (KAHB) nampaknya terus berlarutan selepas Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bakal memfailkan saman terhadap seorang individu yang didakwanya telah membuat tuduhan keterlaluan terhadapnya.

Individu yang bernama Zuraini Ab Ghani juga nampaknya tidak berdiam diri selepas mendedahkan perbuatan Sanusi terhadap KAHB iaitu anak syarikat Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah itu.

Menerusi respon balasnya terhadap hantaran Sanusi, dia seolah tidak gentar dan berkata dirinya tidak pernah bersembunyi.

“Belasan tahun ni tak sembunyi mana pun Sanusi oii. Dok guna akaun ni lah. Bukan fake akaun!

“Hang baru sedaq ka kewujudan akaun ni? Eh, yan post ni Sanusi ka admin dia? Hmmm…,” demikian hantaran yang ditulis di Facebook.

Sanusi

Sebelum itu Zuraini mendedahkan apa yang berlaku terhadap KAHB, mendakwa MBI mengambil pendapatan anak syarikatnya dan ‘mencuri’ kakitangan syarikat itu.

Selain itu, dia mendakwa pengurusan tertinggi KAHB yang dilantik dalam lingkungan kenalan Sanusi pula hanya tahu membazirkan duit rakyat, tetapi akhirnya pekerja dipersalahkan.

Susulan itu Sanusi pula membalas, mendakwa tuduhan yang dibuat adalah keterlaluan dan mengancam untuk berjumpa di mahkamah.

“Haaa, jumpa dah tukang reka cerita karut sejak belasan tahun dia bersembunyi di sebalik muka manis. 

“Okay, jom tengok dia boleh pertahankan atau tidak tuduhan keterlaluan dia kali ni. Sila duduk jangan lari. See you in court!,” ujarnya.

Terdahulu Harapan Daily melaporkan pendedahan dibuat kakitangan KAHB yang mendakwa tidak dibayar gaji selama sembilan bulan.

Kakitangan mendakwa surat telah pun dihantar kepada Sanusi  mengenai tunggakan gaji mereka, namun tiada keputusan yang diperoleh.

Semingu selepas isu ini tersebar, Sanusi pula merendahkan kakitangannya dengan mendakwa mereka ibarat lintah kerana tidak tahu menjana pendapatan sendiri.

“Tujuan tubuh GLC untuk berniaga, dapat projek kerajaan untung pulang balik kepada kerajaan. Kalau ada 30 orang kerja dalam itu makan kedarah, sumbang tak pernah, tapi kikis lagi itu bukan GLC. Itu lintah, saya tak mahu bela lintah,” katanya.

Disebabkan itu, ramai yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kata-kata Sanusi sehingga ada yang mendakwa bahawa menteri itu sengaja memburukkan nama Kedah Agro.

BACA JUGA Individu dedah apa MB Kedah buat pada Kedah Agro, Sanusi balas “see you in court”