Guru ‘swinger’ dibeku sementara tugas
Seorang guru penolong kanan di Terengganu yang dipercayai terlibat dengan aktiviti ‘swinger’ iaitu bertukar-tukar pasangan seks dibekukan sementara tugas.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Jelani Sulong dilapor berkata, tindakan itu diambil bagi memberi ruang kepada polis membuat siasatan terperinci selain JPNT akan menunggu keputusan mahkamah.
Jelani berkata, perkara itu masih dalam siasatan polis dan pihaknya menyerahkan kes itu kepada pihak berkuasa.
“Baru-baru ini pertuduhan sudah dibuat di Mahkamah dan beliau (guru berkenaan) tidak mengaku salah, manakala 31 Mac depan dijangka sebutan semula kes.
“Kita di peringkat jabatan menunggu keputusan mahkamah dan tindakan tatatertib akan menyusul.
“Bagaimanapun di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), mereka sudah membuat siasatan secara menyeluruh,” katanya, lapor BH.
Pada 21 Mac lalu, seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan memperdagangkan seorang wanita tempatan bagi tujuan eksploitasi seks.
Tertuduh, Mohd Hasfyanizam Mansor, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nazlyza Mohamad Nazri.
Bagaimanapun, rakan tertuduh, Mohamad Fazley Jaafar, 29, yang berdepan pertuduhan sama mengaku bersalah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara bersama-sama memperdagangkan seorang wanita tempatan berusia 29 tahun bagi maksud eksploitasi seks.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah apartmen di Kuala Terengganu, kira-kira jam 2.35 pagi pada 11 Mac lalu.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 31 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen bagi kes Mohd Hasfyanizam.
BACA JUGA Lagi murah dari roti john bazar, netizen ucap terima kasih Mydin jual baju raya RM5