Kementerian bagi solusi buat suami takut isi PADU, ‘confirm’ tak kantoi kahwin 2
Tular cerita mencuit hati apabila ada segelintir suami yang tidak mahu mengisi Pendaftaran sistem Pangkalan Data Utama (PADU) kerana bimbang kantoi kahwin 2.
Diceritakan, lelaki berusia 50-an yang namanya tidak didedahkan, berkahwin kali kedua dengan pekerjanya secara sembunyi sejak tiga tahun lalu.
Namun ketika ini dilema untuk mengisi PADU kerana bimbang diketahui isteri pertama. Cerita yang dikongsikan seorang peguam Ahmad Nizam Hamid, yang juga pengarah strategi Pakatan Harapan (PH) Pahang itu ternyata mencuit hati ramai.
Bukan setakat itu, ia turut menarik perhatian laman rasmi Kementerian Ekonomi yang sememangnya memahami dilema dihadapi para suami yang berkahwin dua.
Menanggung dua keluarga sememangnya satu tugas yang berat, tambahan lagi sekiranya tercicir daripada subsidi bersasar yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.
Bagi menjawab keresahan para suami yang tidak mampu menyatakan perkara sebenar, atas apa pun jua alasan, apa langkah terbaik untuk tidak termasuk dalam kumpulan yang tercicir daripada subsidi?
Salah satu solusi yang boleh dicadangkan kementerian adalah isteri kedua mendaftar dan mengemas kini PADU sebagai Ketua Isi Rumah (KIR) dan memasukkan suami sebagai Ahli Isi Rumah.
“Suami pula mendaftar dan mengemas kini PADU seperti biasa untuk keluarga pertama sahaja.
“Untuk sebarang isu lain, kami mendoakan urusan tuan-tuan dipermudahkan.
“Seperti kata pepatah Melayu, “Kalau benar pahlawan sejati, tidak takut ditentang lawan,” tulisnya di Facebook.
Perkongsian terbaru kementerian itu menarik perhatian ramai dengan rata-rata yang meninggalkan komen adalah kaum Adam.
Mereka juga terhibur dengan keseriusan kementerian menangani permasalahan dihadapi suami di luar.
BACA JUGA Bapa tak setuju ustazah Pasti ajar budak lukis bendera politik