Ketua Pemuda Umno buat laporan polis selepas terima ugutan ini

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Salleh membuat laporan polis berhubung ugutan bunuh yang diterimanya hari ini.

Laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin kira-kira jam 5 petang tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau dan Exco Melaka itu berkata laporan dibuat bagi melindungi keselamatan diri dan keluarga daripada ancaman.

“Mula-mula saya tak nak buat tetapi apabila ada satu laporan mengenai perkara ini, saya fikir ia perkara yang serius untuk saya melindungi keselamatan ahli keluarga.

“Saya harap pihak polis dapat menjalankan siasatan dan kita tunggu apa keputusannya selepas ini,” dipetik BH.

Terdahulu, Akmal yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin mendakwa menerima ugutan bunuh daripada pihak tidak dikenali.

Beliau mendakwa ugutan bunuh itu dimaklumkan oleh seseorang yang menghubunginya ketika dalam perjalanan ke satu program di Lipat Kajang, Jasin pagi tadi.

Dilaporkan, ia berkaitan kelantangan Akmal dalam memperkatakan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah mutakhir ini.

BACA JUGA Diancam saman, individu balas “kami tak sembunyi pun Sanusi oii…”