Lima peruntukan undang-undang terhadap mereka yang kecam Islam

Mana – mana pihak yang membuat kecaman terhadap Islam akan berdepan dengan tindakan undang-undang di bawah seksyen 295, 298 dan 298A.

Ketiga-tiga seksyen ini di bawah Kanun Keseksaan.

“Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang menyebut mengenai dengan sengaja mengeluarkan perkataan, bunyi, isyarat dan sebagainya berniat hendak melukakan perasaan keagamaan seseorang; dan jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai setahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.

“Peruntukan Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu mengenai perlakuan menulis, bercakap, mempromosi, membantu, menganjur, mengatur dan sebagainya apa-apa aktiviti yang menyebabkan atau boleh menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan atau perasaan permusuhan, benci-membenci atau niat jahat, atau memudaratkan keharmonian atau perpaduan di atas alasan agama.

“Seksyen 295 Kanun Keseksaan berhubung memusnahkan, merosakkan atau mencemarkan tempat sembahyang dengan niat mengaibkan agama golongan tersebut,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Naim Mokhtar.

Selain itu, seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 juga memperuntukkan kesalahan penggunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian tidak wajar. Mereka yang disabitkan kesalahan berdepan hukuman maksima denda RM50,000 atau penjara setahun.

Juga kesalahan syariah

Kecaman terhadap Islam juga merupakan kesalahan syariah.

“Manakala sebarang bentuk kecaman terhadap agama Islam atau hukum – hakam yang terkandung di dalam agama Islam, boleh ditafsirkan sebagai perbuatan menghina agama Islam sepertimana yang terkandung di bawah Seksyen 7, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 iaitu “ mana-mana orang yang secara lisan atau secara bertulis atau dengan gambaran yang tampak atau dengan apa – apa cara yang lain ” :

(a) menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina;

(b) mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam

(c) mempersendakan atau menyebabkan dipandang hina mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa di Wilayah Persekutuan yang berhubungan dengan agama Islam, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Naim memberi penjelasan di atas dalam jawapan bertulis kepada Zulkifli Ismail (PN-Jasin) yang bertanya mengenai tindakan – tindakan yang diambil untuk mengatasi kecaman terhadap hukum-hakam Islam yang berleluasa.

BACA JUGA: Tak perlu terburu-buru pinda perlembagaan, kajian mendalam perlu