PRK DUN Kuala Kubu Baharu: SPR adakan mesyuarat khas 4 April

Satu mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu akan diadakan pada Khamis, 4 April depan.

Mesyuarat itu diadakan susulan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima pemakluman rasmi mengenai kekosongan luar jangka kerusi yang disandang mendiang Lee Kee Hiong.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, mesyuarat khas itu akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh.

“Tarikh-tarikh penting PRK seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain bagi melaksanakan pilihan raya tersebut akan dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mendiang yang berumur 58 tahun menghembuskan nafas terakhir pada 21 Mac lalu.

Beliau menjadi wakil rakyat DUN Kuala Kubu Baharu sejak 2013 dan ini adalah penggal ketiganya selepas mengekalkan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 2023.

Pada PRN Ogos tahun lalu, mendiang menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.

Beliau mendapat 14,862 undi, manakala Kien Hong hanya meraih 10,743 undi ketika PRN itu.

BACA JUGA Diancam saman, individu balas “kami tak sembunyi pun Sanusi oii…”