Stokingate: Mencari kewarasan daripada al-Quran (Bahagian 2)

Oleh ROZHAN OTHMAN

Orang Islam berhak merasa tersinggung dalam isu Stokingate ini. Namun, dalam menentukan tindakan yang patut diambil, ada beberapa soalan yang harus diteliti.

Pertama, siapakah yang sebenarnya bertanggungjawab menyebabkan krisis ini?

Peruncit, pemborong atau pengeluar stoking? Bukankah ini satu keadilan yang harus diberikan pada pihak-pihak yang terbabit (rujuk pada Al Maaidah ayat 8).

Jika punca masalah ialah pengeluar stoking, kenapa tidak ditujukan kemarahan kepada pengeluar stoking?

Kenapa tidak semak produk-produk lain yang dieksport pengeluar ke Malaysia untuk dipulaukan? Dan adakah pendekatan memulau cara yang terbaik menangani isu ini?

Tidakkah pendekatan mendidik dan membina kefahaman lebih diperlukan untuk mengelak masalah ini daripada berulang?

Ada yang mengatakan orang bukan Islam di Malaysia harus faham dan peka terhadap sensitiviti orang Islam.

Al-Quran menyebut kepentingan li ta`arafu dalam memupuk kesefahaman antara manusia.

Adakah li ta`arafu satu monolog di mana satu golongan menentukan apa golongan lain perlu ketahui atau adakah ia seharusnya melibatkan dialog?

Patutkah li ta`arafu dijadikan mekanisma dalam mengatasi konflik seperti Stokingate?

Penulisan Akila Mamat dari UNISZA dan rakan-rakannya dari USIM dan UKM mengenai makna li ta`rafu harus diteliti umat Islam.

Kedua, di media sosial hari ni tiba-tiba terdapat ramai pakar dalam proses perolehan dan pengurusan rantaian bekalan yang mengatakan KK Mart harus dipertanggungjawabkan kerana ia sepatutnya memeriksa stok yang tiba. Ini benar.

Tetapi pakar-pakar ini sudah tentu tahu bahawa cara pemeriksaan stok dilakukan secara pengsampelan dan bukan dengan memeriksa semua unit yang diterima.

Siasatan menunjukkan hanya terdapat 14 stokin dengan perkataan “Allah” dalam bungkusan penghantaran yang mengandungi 1,000 pasang stokin.

Ini bererti stoking yang bermasalaah hanya 1.4 peratus daripada jumlah yang diterima.

Dari segi kebarangkalian statistik, kemungkinan stokin-stokin bermasalah ini tidak dikesan oleh pemeriksa stok adalah tinggi.

Kalau pun pemeriksa menemui stokin-stokin dengan huruf “alif” “lam” “lam” “ha”, dan pemeriksa itu orang bukan Islam, adakah munasabah untuk menjangkakan dia akan dapat mengenali huruf-huruf berkenaan dan faham maksudnya? Proses perolehan mana-mana organisasi jua tidak bebas dari ralat.

Ini sebabnya syarikat-syarikat pembuat kereta terpaksa melakukan “product recall” dari masa ke masa.

Demikian juga, syarikat pembuat kapal terbang pun gagal mengawal semua inventori yang diterima mereka dan telah menyebabkan kapal terbang seperti Boeing 737 Max terhempas.

Baru-baru ini ramai kanak-kanak di Indonesia dan Uzbekistan terbunuh kerana menggunakan ubat batuk yang tercemar.

Industri-industri ini mempunyai kawalan kualiti yang lebih ketat berbanding dengan industri peruncitan namun kesilapan berlaku juga.

Ketiga, apakah tindakan yang wajar diambil memandangkan pihak KK Mart telah meminta maaf?

Rasulullah S.A.W. telah memaafkan Wahshi dan Hind bint Utbah yang bertanggungjawab membunuh bapa saudaranya Hamzah ketika Perang Uhud.

Dia juga telah memaafkan Abu Sufyan yang telah memimpin tentera Quraysh ketika Perang Uhud dan Perang Ahzab.

Adakah kesilapan KK Mart setaraf denga apa yang dilakukan Wahshi, Hind dan Abu Sufyan? Allah itu Maha Esa dan bersifat qiyaamuhu bi nafsihi dan kesucianNya serta KeagunganNya tidak sedikit pun terjejas kerana stokin-stokin ini.

Apa yang dituntut oleh Allah ialah kita menghayati ajaran dan contoh tauladan RasulNya (rujuk Al Imran ayat 31).

Bagaimanakah pula di atas alasan ingin “membela Islam” ada yang menyimpang dari ahklak dan ajaran RasulNya?

Kita seharusnya menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai ikutan. Sebaliknya kita membiarkan diri kita dihasut dan hidung kita ditarik ahli-ahli politik sambal belacan.

Risalah Islam membawa rahmah, bertujuan menyempurnakan akhlaq serta ummat Islam seharusnya menjadi khairu ummah serta ummatan wasata.

Malangnya, akhlaq yang ditunjuk Rasulullah s.a.w. diketepikan di atas nama ingin membela agama.

Rasulullah tidak lagi dijadikan ikutan tetapi ahli-ahli politik sambal belacan yang menjadi turutan. Tindak-tanduk mereka di warnai marah dan bukan rahmah. Hikmah digantikan dengan tohmah. Hasanah digantikan dengan sayyi`ah.

Ummat wasata dah jadi ummat syadida. Dan mereka beranggapan golongan yang tidak setuju dengan mereka adalah liberal dan munafiq.

Ingatlah kembali ayat 125 Surah An Nahl di mana Allah mengingatkan kita bahawa Dia tahu siapa yang benar-benar mendapat petunjuk dan siapa yang sebenarnya sesat.

Adalah satu bala jika ada yang tergelincir ke dalam kesesatan pada ketika “mempertahankan Islam”.

Sebenarnya terdapat ramai dari golongan ustaz-ustaz yang lebih mampu mengupas mengenai pendekatan Al Quran dalam menangani isu Stokingate ini. Mungkin ada telah bersuara atau cuba bersuara.

Yang lain mungkin sibuk serta lebih suka berendah diri dan tidak mahu menonjolkan diri.

Pada ketika saat meruncing sebeginilah kita memerlukan pemimpin dan agamawan yang mempunyai keberanian moral atau “moral courage” untuk memperbetulkan keadaan.

Pemimpin yang mempunyai keberanian moral tidak akan terbawa-bawa dengan sentimen dan prejudis.

Malangnya, dalam keadaan yang kita hadapi ketika ini, sukar untuk melihat pemimpin-pemimpin yang mempunyai keberanian moral.

Lebih ramai yang terikut-ikut dengan joget sayyi`ah yang ditarikan ahli-ahli politik sambal belacan.

Dikalangan pendakwah-pendakwah selebriti pun ada yang sama saja. Ada yang sehingga menumbuk meja untuk menunjukkan kemarahan dalam isu ini. Mereka sama-sama bersubahat melahirkan ummat syadida.

Mungkin ada yang mengharapkan konsep Malaysia Madani akan melahirkan insan Madani yang akhlaq dan tindak-tanduknya berbeza dan lebih mulia daripada mereka yang hidungnya ditarik ahli-ahli politik sambal belacan.

Namun, kita kecewa kerana nampaknya konsep Madani gagal mencapai hasrat ini. Malahan, jika peristiwa Stokingate ini merupakan ujian keberanian moral kerajaan hari ini dan menteri-menteri serta PMX, nyata sekali prestasi mereka tidak membanggakan.

Apa yang disaksikan hari ini merupakan lanjutan daripada politik kebencian yang telah disemai oleh ahl-ahli politik sambal belacan dan laskar-laskar siber mereka sejak bertahun-tahun lalu. Tidak ada tanda-tanda menunjukkan ini akan reda.

Sebaliknya, momentum dari arus ini nyata semakin meningkat. Malangnya, kerajaan hari ini boleh dikatakan seolah tidak acuh dalam menangani masalah ini.

Ini mungkin berpunca daripada ketiadaan pemikiran strategik, anggota-anggota kerajaan yang tidak cekap dan pemimpin-pemimpin yang sudah terpisah dari realiti bila memegang kuasa. Arus politik kebencian ini akan terus berkembang dan akan mempunyai impak terhadap citra serta nilai-nilai dan perpaduan masyarakat.

Namun, tidak terdapat petanda sesiapa dalam kerajaan yang merasa cemas dengan perkembangan ini. Quo vadis Malaysia Madani?

Robert Heinlein pernah berkata “Anda akan boleh mempengaruhi seribu orang dengan lebih cepat dengan menggunakan prejudis mereka berbanding meyakinkan seorang individu menggunakan logik”. Inilah yang kita perhatikan berlaku.

Bagi ummat Islam, perlulah kita menghisab diri kita mengggunakan neraca Al Quran. Kita mungkin wira dan jaguh mengikut politik sambal belacan dan perkauman, namun adakah ini yang dianjurkan Islam?

Apabila Rasululllah s.a.w. tiba di Madinah, baginda berdepan dengan sebuah masyarakat yang telah berdekad berpecah-belah dan berperang saudara.

Islam menjadi faktor penyatu dan Piagam Madinah menjadikan semua orang yang bernaung di bawahnya, Islam dan bukan Islam, satu ummah.

Adakah ini yang akan dicapai dengan mengikut sayyi`ah yang dipelopori ahli-ahli politik sambal belacan?

Sheikh Abdul Ghani Al Nabulsi, seorang ulama kurun kelapan belas, pernah berkata “Satu petanda kemunafiqkan ialah Allah mengeluarkan rahmah dari seseorang”. Adakah ini yang sedang berlaku pada kita hari ini?

BACA JUGA Stokingate: Mencari kewarasan daripada al-Quran (Bahagian 1)