DOJ rampas dua pangsapuri mewah bekas PM, hartanah dibeli RM66.1 juta

Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) semalam merampas dua pangsapuri Manhattan bernilai jutaan dolar yang didakwa dibeli dengan hasil skim rasuah yang dijalankan oleh bekas Perdana Menteri Mongolia.

Sukhbaatar Batbold dilapor AFP membeli hartanah itu secara kolektif bernilai AS$14 juta (RM66.1 juta).

Dia menggunakan keuntungan daripada kontrak perlombongan yang diberikan secara haram di Mongolia, memetik status pengubahan wang haram, agensi persekutuan itu.

Pangsapuri mewah Carlton di 21 E. 61st St. (kiri), dan unit kondominium di The Park Imperial, sebuah bangunan 70 tingkat di 230 W. 56th St. Sumber: Daily News

Peguam AS, Breon Peace, berkata rampasan yang dilakukan itu sekali gus menghantar mesej bahawa aktiviti jenayah tidak pernah dimasukkan dalam perjanjian pemilikan rumah.

“Seperti didakwa, bekas Perdana Menteri Mongolia, Batbold menggunakan hartanah mewah di bandar New York sebagai perlindungan untuk skim rasuah haramnya,” katanya menerusi kenyataan.

Mengikut aduan pelucuthakan sivil mendakwa, Batbold menyalahgunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Dia memberikan kontrak perlombongan merangkumi lombong tenaga yang dikawal kerajaan kepada entiti yang dimiliki atau dikawal oleh rakan sekutunya atau anaknya.

Lapor AFP lagi, aduan itu juga menyebut skim yang didakwa menyembunyikan fakta bahawa Batbold dan keluarganya melanggar undang-undang anti-rasuah Mongolia.

Dia dan keluarganya menerima manfaat daripada penjualan sumber asli negara bernilai jutaan dolar.

Batbold yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri Mongolia dari 2009 hingga 2012, sebelum ini pernah menafikan dakwaan rasuah terhadapnya.

Peguamnya memberitahu akhbar Jepun Nikkei pada 2021 kononnya dakwaan itu didalangi oleh musuh politik.

Mongolia yang diapit negara kuasa besar dunia, Russia dan China menyaksikan negara itu merekodkan pertumbuhan ekonomi pesat selepas ledakan dalam industri perlombongan termasuk mengeksport tembaga serta bijih besi.

Keuntungan hasil daripada aktiviti perlombongan arang batu saja membentuk satu perempat daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2022.

Sukhbaatar Batbold

Sementara itu, Freedom House iaitu kumpulan pemikir berpangkalan di AS berpendapat bekas negara komunis itu walaupun kini ditadbir secara demokrasi, terdapat dakwaan ia dibelenggu dengan rasuah yang berleluasa sehingga merencatkan pembangunan.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Michael Nordwall, ketika Batbold menjadi Perdana Menteri Mongolia, defendan didakwa menggunakan dana rasuah dan skim pengubahan wang haram yang canggih untuk membeli dua pangsapuri mewah di New York.

“Jangan silap. FBI berdedikasi untuk mengenal pasti aset yang diperoleh melalui rasuah dan bekerjasama dengan rakan kongsi kami untuk mendapatkan semula data, tidak kira apa keadaanya,” katanya.

BACA JUGA Subsidi dimonopoli orang kaya, diguna warga asing, dirompak penyeludup dan penyamun