Dulu janji siap 2025, sekarang kerajaan Kelantan kata terminal bas KB Sentral siap 2027

Projek Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) bernilai RM64 juta yang dijanji akan disiapkan pada penghujung 2025, kini dimaklumkan akan disiapkan menjelang 2027.

Pada Julai 2022, kerajaan berjanji pembinaan KB Sentral bagi menggantikan terminal bas sementara di Lembah Sireh yang sudah beroperasi selama lebih 12 tahun, akan disiapkan pada penghujung 2025.

Pada Mac tahun ini pula, kerajaan memaklumkan ia akan disiapkan pada penghujung 2026. Namun yang terbaru, Exco Kelantan memberitahu bahawa ia bakal disiapkan menjelang 2027.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, isu KB Sentral menjadi keutamaan kerajaan negeri untuk menyiapkannya dan pada masa yang sama projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan siap sepenuhnya pada 2027.

KB Sentral

Katanya, kerajaan negeri telah menandatangani perjanjian dengan satu syarikat untuk menyiapkan KB Sentral.

“Cuma ada berlaku pindaan komponen pembangunan sebagaimana yang dirancang dan berlaku perubahan antara faktor utama ECRL tidak membenarkan KB Sentral ‘tap masuk‘ (disambung) ke stesen ECRL.

“Kalau kita nak laksanakan KB Sentral, penumpang ECRL kena turun dulu dan perlu ambil jalan baru nak naik ke KB Sentral.

“Sedangkan asal kita ialah satu konsep integrated (bersepadu) antara KB Sentral, terminal bas, ECRL yang ada hab e-hailing dan kereta sewa seperti KL Sentral,” katanya ketika soal jawab di Majlis Iftar Mahabbah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan (UPKN) dan Media Bersama kepimpinan di sini, malam tadi.

Suasana persekitaran di terminal bas sementara dilihat tidak selesa dan kekurangan pelbagai kemudahan, menyebabkan lokasi itu dianggap antara lokasi pengangkutan awam yang ketinggalan zaman.

Terminal sementara Kota Bharu ‘rancak’ beroperasi dengan menerima ramai pengunjung dari dalam dan luar Kelantan, namun keadaan fasiliti terbabit dilihat seolah-olah tiada sebarang kemajuan.

Malah, stesen bas itu masih terbuka tanpa dilengkapi pendingin hawa, selain tiada kemudahan seperti mesin pengeluaran wang automatik (ATM) atau tempat menunggu yang sesuai untuk menampung pengunjung.

Sementara itu Hilmi berkata, pihaknya terpaksa mengkaji balik proses pembangunan (KB Sentral) dan berlaku perubahan dalam komponen, nilai pembangunan serta jadual kerja tidak sama seperti jadual asal.

“Kita dalam proses untuk memuktamadkan perjanjian akhir antara pemaju dan sekiranya tiada apa-apa kita akan teruskan.

“Peringkat negeri kita dah bayar tanah (pengambilan) dan sekiranya pemaju yang kita lantik dahulu tidak dapat meneruskan konsep asal, kemungkinan kita (kerajaan negeri) akan buat sendiri tanpa komponen pembangunan seperti dirancang sebelum ini iaitu ada pasar raya dan sebagainya,” katanya.

BACA JUGA Guru Pasti disuruh berbohong semasa lawatan JTK?