Guru Pasti disuruh berbohong semasa lawatan JTK?

Kumpulan Henti Tindas Guru Pasti membangkitkan dakwaan terdapatnya arahan daripada pihak pengurusan supaya guru tadika kendalian Pas itu berbohong semasa lawatan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Menerusi platform X, gerakan tersebut sangat bersetuju dengan saranan pakar berhubung garis panduan jelas mengenai pekerja sukarela.

“Sangat setuju dengan saranan ini. Benda yang boleh bawa manfaat kepada guru, kenapa nak tolak ‘kan?

“Tapi betul ke sukarelawan? Dengar kata ada arahan dari pengurusan suruh guru Pasti berbohong kepada pegawai JTK yang datang melawat?” tulis kumpulan pendesak itu.

Guru Pasti selama ini dinafikan hak mereka sebagai pekerja dengan dibayar gaji rendah daripada kadar gaji yang ditetapkan di bawah Perintah Gaji Minimum 2022.

Mereka juga tidak dicarum KWSP dan Perkeso, memetik memo daripada JTK Semenanjung Malaysia yang tersebar di media sosial.

Memo JTK itu mengenai arahan siasatan pemeriksaan berkanun terhadap Pasti.

Turut diarah untuk disiasat adalah Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam atau SMITI.

Kesemua tadika dan sekolah milik Pas itu didakwa membayar gaji rendah kepada kakitangan di bawah daripada kadar gaji minimum iaitu RM1,500.

Susulan itu, rata-rata pakar menegaskan sudah tiba masanya satu garis panduan atau polisi jelas mengenai perkerja sukarela diwujudkan bagi melindungi kumpulan tersebut.

Hal ini memandangkan status yang tidak jelas mengakibatkan pekerja dalam kelompok itu tidak dilindungi dengan sewajarnya sebagai pekerja.

BACA JUGA ‘Aunty Bersih’ aktivis gigih, ikon rakyat hingga akhir hayat – PM