Gembira ditawarkan kerja di firma EY, pemuda ini akui dapat inspirasi dari Rafizi

Seorang pemuda berkongsi khabar gembira sejurus mendapat surat tawaran kerja dari firma antarabangsa tersohor Ernst & Young (EY).

Lebih menarik perhatian warganet apabila pengguna laman X, @iHishamHaron itu memberitahu beliau mendapat inspirasi daripada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Hisham Haron (kiri) menjadikan Rafizi idolanya sehingga beliau mendapat tawaran kerja di EY.

“Masa temuduga dengan EY hari itu, dia tanya kenapa saya nak jadi juruaudit.

“Saya cerita pasal @rafiziramli kena jail masa zaman Najib sebab dedahkan audit 1MDB (1Malaysia Development Bhd).

“Saya mendapat inspirasi dengan keberanian beliau sebagai juruaudit dan pemberi maklumat (whistleblower).

“Alhamdulillah, hari ini dapat surat tawaran dari EY. Terima kasih Raf,” katanya mengucapkan penghargaan kepada Rafizi.

Untuk rekod, EY merupakan firma perunding cukai terkemuka dunia yang beribu pejabat di London.

Kegembiraan Hisham yang merupakan antara pelajar Malaysia di New Zealand itu kemudian turut mendapat respon Rafizi tetapi dengan sedikit ‘pembetulan’.

Ha3… masuk lokap je dik, belum kena penjara. Apapun, tahniah. ha3 letihlah nak menghafal reporting standards lepas ni,” balas Rafizi.

Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR terselamat daripada disumbat ke penjara gara-gara mendedahkan kandungan Laporan Pengauditan 1MDB.

Panel tiga hakim dalam keputusan pada 2018 mengetepikan hukuman 18 bulan penjara yang dikenakan terhadap Rafizi atas kesalahan tersebut.

BACA JUGA Terkejut tahu Sultan Ibrahim masih teruskan tradisi ini walau bergelar Agong, untung siapa dapat