Peluang ceburi industri pemeriksaan kenderaan mulai Jun. Apa syaratnya?

Monopoli Puspakom akan ditamatkan susulan pengumuman Menteri Pengangkutan untuk permohonan pembukaan syarikat pemeriksaan kenderaan mulai bulan Jun.

Perkara ini diulas secara panjang lebar dalam akaun Tiktok caretamalaysia. Turut diperincikan adalah syarat-syarat yang perlu dipatuhi.

“Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah mengumumkan bahawa monopoli Puspakom dah tamat. Bermula Jun ini mana – mana syarikat yang berminat membuka syarikat pemeriksaan kenderaan dah boleh mula hantar permohonan mereka.

“Alasan Loke ialah agar industri ini dapat bersaing sihat dan menarik pelabur-pelabur masuk dan bawa teknologi terkini dalam industri pemeriksaan kenderaan.

“Bidang industri pemeriksaan kenderaan di Eropah menggunakan AI. Itu yang dia orang nak dan satu lagi menteri nak lagi banyak tempat ada pusat pemeriksaan kenderaan. Setiap negeri setiap kawasan ada, tapi ada syarat juga.

“Setiap syarikat yang memohon perlu ada modal berbayar sekurang-kurangnya RM10 juta dan modal pusingan sebanyak RM5 juta bagi memastikan operasi mampan.

“Syarikat yang terima kelulusan juga akan dapat kelulusan sementara untuk 24 bulan. Dalam tempoh itu, mereka perlu pastikan operasi seratus peratus.

“Kalau semua okay, selepas itu baru terima lesen betul untuk melakukan pemeriksaan kenderaan, di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, selama tempoh maksima 10 tahun.

“Puspakom akan ada lagi kerana kontrak mereka dilanjutkan selama 15 tahun bermula Sept 2024.

“Setiap pemohon perlu buka dua pusat pemeriksaan, satu di kawasan bandar dan satu di luar bandar.

“Ini tanda kerajaan akan memulakan pemeriksaan kenderaan berkala untuk kenderaan berusia.”

BACA JUGA: ‘Institut memandu pau, kita batalkan lesen’