Penghantar barang dicekup di R&R, ganja untuk 206,405 penagih dirampas

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua, itulah yang berlaku kepada seorang penghantar barang apabila berjaya diberkas polis, 24 Mac lalu.

Polis menahan lelaki itu kerana disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan serta pengedaran dadah termasuk cecair vape mengandungi ganja di Melaka.

Suspek berusia 45 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Melaka di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh, arah selatan, Lebuh Raya Utara Selatan, pada jam 1.35 tengah hari.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, hasil risikan dijalankan polis mendapati sindiket berkenaan mula aktif sejak awal 2023.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas dadah jenis ganja seberat 41.28 kilogram serta 300 unit cecair ganja dianggarkan bernilai RM130,971.

“Semua dadah ini yang dirampas ini dipercayai boleh digunakan oleh seramai 206,405 orang penagih,” maklum beliau menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurut Zainol lagi, semakan rekod yang dijalankan mendapati suspek yang bekerja sebagai penghantar barang itu mempunyai satu rekod dadah lampau di bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan ujian saringan air kencingnya adalah negatif.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula 24 hingga 30 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952,” katanya lagi.

BACA JUGA Dulu janji siap 2025, sekarang kerajaan Kelantan kata terminal bas KB Sentral siap 2027