Reformasi fiskal selepas lebih 20 tahun ekonomi negara tidak berkembang
Perdana Menteri berkata, langkah reformasi fiskal perlu dimulakan walaupun diakui berat demi merancakkan semula ekonomi negara yang tidak berkembang sejak lebih 20 tahun lalu.
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan perlu melaksanakan pembaharuan fiskal agar ia bertunjang di landasan yang mampan dan utuh, bagi menggapai tahap ekonomi berpendapatan tinggi yang bersandarkan nilai manusiawi.
“Hakikatnya, dengan hasil cukai sebanyak 11.8 peratus sahaja daripada KDNK, kerajaan mempunyai ruang terhad untuk melabur dalam aspek pembangunan rakyat dan memberi bantuan sewajarnya kepada golongan rentan serta yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan di Facebook milik beliau hari ini.
Sehubungan itu, pembaharuan fiskal, jelasnya, akan ditumpukan kepada penyasaran subsidi dan memperluaskan asas hasil bagi mewujudkan ruang fiskal yang dapat diagihkan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan akan menoktahkan gejala ketagihan kepada hutang bagi memulihkan keyakinan pelabur luar,” katanya yang juga Menteri Kewangan.
Dalam masa sama, Anwar memaklumkan beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) semalam yang meneliti senario terkini ekonomi Malaysia serta unjuran jangka pendek dan sederhana.
“Dalam mesyuarat FPC, ahli jawatankuasa senada untuk memperkukuhkan Pejabat Pengurusan Hutang (DMO) bagi menambah baik pengurusan hutang kerajaan serta memperkemaskan peranan Pejabat Perhubungan Pelabur (IRO) di bawah Kementerian Kewangan, yang menjadi pusat rujukan utama untuk pelabur pasaran,” katanya.
Turut hadir dalam mesyuarat itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusif; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli serta Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pengenalan subsidi bersasar terhadap beberapa segmen termasuk subsidi elektrik, mengerjakan haji dan seterusnya diesel, yang dirancang akan mula dilaksana tahun ini.
BACA JUGA Dulu janji siap 2025, sekarang kerajaan Kelantan kata terminal bas KB Sentral siap 2027