‘Satu hari dia pasti kena tembak mati’ – Pemilik bengkel ditahan kes ugut bunuh KP UMNO

“Ketua Pemuda UMNO Malaysia (Dr Akmal Salleh) lebih-lebih dalam isu KK Mart, satu hari dia pasti kena tembak mati“.

Itu kata-kata ugutan terhadap Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh yang didengar seorang pengadu yang kemudiannya membuat laporan polis.

Susulan itu, seorang pemilik bengkel ditahan petang semalam di sekitar Kandang, Melaka Tengah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek berkenaan ditahan kira-kira pukul 4 petang.

Menurutnya, lelaki berusia 68 tahun terbabit ditahan selepas polis menerima satu laporan daripada pengadu yang terdengar kata-kata ugutan itu.

Jelasnya, pengadu yang juga pesara kerajaan berusia 62 tahun terdengar ugutan disuarakan suspek ketika berada di bengkel kereta milik suspek pada 20 Mac lalu.

Pengadu, katanya, hanya berdiam diri mendengar kata-kata ugutan itu dan tidak melayan lelaki tersebut.

Christopher berkata, hasil siasatan mendapati tempat kejadian merupakan satu pondok yang didirikan untuk menjalankan kerja-kerja membaiki kereta.

Ujarnya, suspek mengaku memberitahu kepada pengadu rasa tidak puas hatinya terhadap kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pemuda UMNO itu.

“Hasil soal siasat awal, suspek mengaku telah memberitahu pengadu ketidakpuasan hati terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr Muhamad Akmal Saleh mengenai isu KK Mart.

“Tiada sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan perkhidmatan kawalan keselamatan di kawasan tersebut,” tambahnya.

Suspek bagaimanapun, jelasnya, dibebaskan dengan jaminan polis kerana sakit.

Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan.

Terdahulu, media melaporkan Dr Muhamad Akmal dimaklumkan mengenai ugutan bunuh terhadapnya selepas dihubungi seorang individu tidak dikenali ketika dalam perjalanan ke program rasminya semalam.

Beliau kemudian tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, petang semalam.

BACA JUGA Ketua Pemuda Umno buat laporan polis selepas terima ugutan ini