Stoking kalimah Allah: Apa kata Nik Nazmi?

”Serahkan isu ini kepada pihak polis dan Badan Perundangan adalah langkah terbaik bagi mengelakkan hal-hal yang tidak diingini berlaku.

Itu pandangan Naib Presiden Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad berhubung isu stoking kalimah Allah yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

Katanya, kedaulatan undang-undang perlu diutamakan dan beliau percaya pemimpin juga mempunyai kewajipan dalam memastikan perkara tersebut diutamakan.

”Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah menegaskan agar isu ini dikendalikan mengikut lunas undang-undang.

”Sesuai dengan saranan Perdana Menteri, kita perlu memberikan ruang untuk undang-undang menghakimi individu-individu yang terbabit,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Nik Nazmi lagi, di bulan Ramadan yang mulia ini, beliau percaya ia adalah masa sesuai umat Islam menunjukkan contoh yang baik dalam menangani isu berkenaan.

Katanya, semua bertanggungjawab dalam mengekalkan keharmonian di negara ini yang terdiri daripada berbilang kaum.

”Sikap berlebihan dalam menangani isu ini mampu mempengaruhi individu-individu tertentu untuk bertindak ekstrem seperti insiden melontar bom petrol ke kedai KK Mart.

”Islam pada asasnya menjunjung keadilan yang dijalin dengan belas kasihan. Islam yang penuh hikmah dan kasih sayang menekankan ketinggian akhlak dan adab umatnya dan melarang kita bersikap melampau atau bertindak di luar lunas undang-undang seperti mengancam nyawa, menyebabkan kecederaan atau merosakkan harta benda.

”Kita seharusnya mengekalkan belas kasihan dan empati dan bukannya menaikkan kemarahan atau kecaman sesama sendiri,” ujar beliau lagi.

Dalam kenyataan sama, Ahli Parlimen Setiawangsa itu turut menzahirkan bahawa beliau memahami kemarahan umat Islam terhadap kedai serbaneka KK Mart dalam isu berkenaan.

Justeru, beliau berharap insiden tersebut akan memberi pengajaran kepada semua perniagaan untuk lebih teliti dan berhati-hati dalam pengedaran produk yang boleh menyentuh sensitiviti mana-mana agama.

Semalam, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan dan isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui antara lima individu didakwa berhubung penjualan stoking tertera kalimah Allah di kedai serbaneka itu.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah ‘Allah’ dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Pada 16 Mac, pengurusan KK Super Mart dilaporkan memohon maaf berhubung penjualan stoking berkenaan di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Syarikat itu berkata jualan stoking berkenaan telah dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.

Pihak polis kemudiannya sudah melengkapkan dua kertas siasatan pada 22 Mac lalu membabitkan KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan syarikat kilang pengedar yang mengimport stoking yang tertera kalimah Allah mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

BACA JUGA Dulu janji siap 2025, sekarang kerajaan Kelantan kata terminal bas KB Sentral siap 2027