Apa kata Dr Rora selepas PMX balik dari Jerman?

Profesor Dr Muhamad Rozaimi Ramle menegaskan perlunya semua pihak di negara ini memberi pujian kepada Perdana Menteri yang lantang mempertahankan hak rakyat Palestin di hadapan pemimpin Barat.

Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang dikenali dengan panggila Dr Rora itu berkata, kredit patut diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun berbeza politik kepartian.

“Sehingga hari ini bacaan Qunut Nazilah masih berjalan kerana peperangan di sana (Palestin) masih belum berakhir.

“Kita juga kena beri kredit kepada Perdana Menteri yang sangat berani memberi pandangan yang lantang terhadap saudara kita di Palestin.

“Mungkin kita ada perbezaan sedikit tentang perkara atau pandangan beliau yang lain dalam politik tetapi dalam mempertahankan hak Palestin, sepatutnya kita beri sedikit pujian (kepada Perdana Menteri),” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam podcast Fikrah Dan Hujjah (Siri 15) bertajuk “Ramadan – Antara Adat & Ibadat” baru-baru ini.

Dimoderatorkan oleh Rizal Azizan, turut menjadi panelis ialah Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin.

Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle

Mengulas lanjut, Rozaime menyeru agar mana-mana pemimpin di negara ini yang menjadi Perdana Menteri juga seperti Anwar Ibrahim memiliki pendirian teguh memperjuangkan hak Palestin.

“Saya mengajak untuk semua supaya dalam isu Palestin ini, kita semua letak politik kepartian ke tepi. Kita bersatu dan berdiri di atas kepimpinan yang membela rakyat Palestin.

“Walaupun mungkin di luar kita mungkin tak undi dia, dia telah menjadi pemimpin kita. Apabila dia mengeluarkan kenyataan, kita rasa bangga.

“Tak ramai pemimpin Muslim di luar sana yang berani untuk menyatakan pendirian bersama Palestin di hadapan pemimpin Barat.

“Ini satu pendirian yang kita kena sokong dan kita doakan inilah pendirian setiap pemimpin Malaysia apabila mereka menjadi Perdana Menteri.

“Mereka perlu menjadi Perdana Menteri yang tegas kerana kita mahu menghentikan keganasan,” kata Rozaime lagi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan rasmi beliau enam hari ke Jerman baru-baru ini menarik perhatian dunia apabila lantang mengkritik kegagalan negara-negara Barat untuk bertindak terhadap kekejaman Israel di Gaza.

Semasa sidang media bersama Canselor Jerman Olaf Scholz di Berlin pada 11 Mac, Anwar mempertikai nilai kemanusiaan Barat.

Beliau turut membidas sikap “selektif” dan “ambivalen” mereka terhadap kekejaman di Palestin yang telah berlarutan tujuh dekad itu.

Kritikan terbuka Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu terhadap kurangnya tindakan negara Barat terhadap kekejaman Israel di Gaza meraih sokongan individu berpengaruh dalam pelbagai bidang di seluruh dunia.

BACA JUGA Ini 4 fokus utama Mat Sabu