Cantik nama KESUMA, profesor emeritus bahasa puji

“Cantik bunyi KESUMA itu, bahasa kita bahasa yang indah, jadi hayatilah.”

Itu pujian yang diberikan oleh Ahli Dewan Negara, Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr Awang Sariyan kepada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

KESUMA adalah singkatan kepada Kementerian Sumber Manusia yang dipimpin oleh Sim ketika ini.

Dalam sidang di Dewan Negara itu, Awang menyifatkan beliau sememangnya tertarik dengan singkatan KESUMA tersebut.

“Ini satu pujian yang mesti dicontohi oleh kementerian lain, cantik bunyi KESUMA itu,” puji beliau dalam sidang Dewan Negara.

Sim kemudiannya berdiri menzahirkan ucapan terima kasih kepada Awang yang juga bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

“Terima kasih atas penghargaan YB Senator Prof Awang Sariyan. Ia merupakan kebanggaan warga KESUMA mendapat pengiktirafan daripada antara pakar bahasa di negara kita,” ujar beliau dalam ucapannya.

Bukan itu sahaja, Sim turut membacakan serangkap pantun.

Sumbang kudrat menabur jasa,
Sumbang bakti meninggal nama,
Kaum pekerja KESUMA bangsa,
majikan pula rakan KESUMA.

Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka memberi tiga definasi kepada perkataan kesuma iaitu i) bunga ii) perempuan cantik rupawan dan iii) bangsawan.

BACA JUGA: Biawak hidup lebih baik dari kerbau jantan bawa lumpur