Pelawat Tunisia sifatkan Ramadan di Malaysia sangat istimewa

Seorang pelawat dari Tunisia meluahkan isi hatinya dengan menyifatkan Ramadan di bumi Malaysia adalah satu saat yang manis untuk dikenang.

Katanya ini merupakan tahun keempat beliau menyambut Ramadan di negara ini.

“Setiap tahun saya dapat merasakan keistimewaannya. Berjalan menuju ke masjid terasa seperti pengalaman yang baharu.

“Apabila berada di dalam masjid, semuanya umpama sebuah keluarga.

“Di Malaysia, semua masjid memberikan juadah berbuka puasa secara percuma. Tiada orang yang berbuka secara sendirian atau pun kelaparan.

“Detik yang sangat indah apabila azan mula dilaungkan, saya lihat semua orang mula makan bersama-sama,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di TikTok @karem.abroad.

Menurut pelawat dari Tunisia itu lagi, tradisi berpuasa di negara ini adalah sesuatu yang istimewa buat dirinya.

“Saya juga dibesarkan untuk ‘mencintai’ suasana Ramadan di Malaysia. Orang-orangnya baik hati dan semua datang berbuka puasa bersama-sama.

“Selepas empat tahun merasai suasana Ramadan di Malaysia, saya rasa bersyukur.

“Malaysia telah menunjukkan kepada saya ‘cara’ baharu untuk merasai pengalaman di bulan Ramadan,” puji pelancong itu lagi.

BACA JUGA: Biawak hidup lebih baik dari kerbau jantan bawa lumpur