Semua PM setuju isu subsidi bersasar
Semua Perdana Menteri bersetuju bahawa pelaksanaan dasar subsidi bersasar adalah untuk kebaikan rakyat.
Sejak zaman pentadbiran Datuk Seri Najib Razak lagi, polisi mengenai subsidi bersasar disebut.
Semasa membentangkan Belanjawan 2017, Najib berkata, dasar subsidi bersasar perlu menggantikan subsidi pukal.
Menurutnya, dasar subsidi pukal jelas membebankan kewangan negara dan menggalakkan ketirisan.
Era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri kali kedua selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, mekanisme subsidi bersasar juga ditekankan.
Ketika itu, kerajaan memberi jaminan bahawa pelaksanaan subsidi petrol bersasar sampai kepada golongan yang layak.
Seterusnya, Tan Sri Mahiddin Mohd Yassin pula sependapat bahawa hanya golongan sasar iaitu mereka dalam kumpulan B40 dan B60 sahaja berhak menerima subsidi.
Mahiaddin juga tahu pada masa ini semua pihak tanpa mengira status kaya atau miskin, warga asing atau tempatan menikmati subsidi yang sama.
Malah, beliau sendiri pernah menyatakan bahawa kajian mendapati 50 atau 51 peratus daripada subsidi kerajaan digunakan oleh mereka dalam kategori orang berada.
Melangkah ke era pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,kerajaan ketika itu sedang mencari mekanisme terbaik untuk merangka subsidi bersasar.
Usaha tersebut, kata Ismail bagi memastikan rakyat yang berhak tidak tercicir atau tertinggal daripada menikmati subsidi itu.
Sehubungan itu, tindakan pembangkang pada masa ini yang terus menerus mempersoalkan pelaksanaan subsidi bersasar hanya permainan politik kepartian yang tidak menguntungkan rakyat.
Ini termasuklah sindiran ‘mahal dah ni’ yang mengaitkan kenaikan harga barang juga tidak membantu kumpulan sasar yang benar-benar layak menerima bantuan dan subsidi mendapat manfaat.
Dalam pembentangan Belanjawan 2024, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan melakukan penstrukturan semula subsidi pukal dan ke arah subsidi bersasar.
Berbanding pentadbiran Perdana Menteri sebelum ini, buat kali pertama rakyat akan ditawarkan pemberian subsidi bersasar dalam bentuk pindahan tunai secara bulanan.
Sebelum ini, subsidi kerajaan diserap terus ke dalam harga barangan yang dinikmati semua pengguna tanpa mengira tahap pendapatan serta status kerakyatan, termasuk rakyat asing.
Melalui model pindahan tunai bulanan, rakyat dijangka menikmati seperti tambahan gaji bulanan antara RM300 hingga RM400 sebulan.
Hal tersebut dapat dicapai melalui Pangkalan Data Utama (PADU) yang membolehkan pelaksanaan reformasi bantuan sosial rakyat untuk jangka masa panjang.
BACA JUGA Sempena Aidilfitri, tol percuma 8 dan 9 April