Atasi masalah banjir kilat, rupanya inilah jumlah peruntukan yang kerajaan salurkan

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menyalurkan sebanyak RM219.6 juta bertujuan menaik taraf perparitan dan menyelenggara kolam takungan dari tahun lepas hingga tahun ini sebagai komitmen mengatasi masalah banjir kilat.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pihaknya telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM49.59 juta bagi projek naik taraf perparitan dan longkang kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) pada tahun lalu, manakala RM20 juta untuk tahun ini.

”Bagi projek penyelenggaraan kolam takungan banjir di kawasan PBT, peruntukan sebanyak RM100 juta pada tahun 2023 dan RM50 juta pada tahun 2024 telah disalurkan kepada PBT,” maklum KPKT dalam kenyataan, hari ini.

Perkara berkenaan dinyatakan Kor Ming dalam sesi Perbincangan Meja Bulat mengenai Pengurusan dan Tindak Balas Banjir Berkesan di Bandar anjuran Suruhanjaya Tinggi British Kuala Lumpur.

Dalam perbincangan tersebut, beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya menerapkan Pelan Induk Saliran Mesra (PISMA) dalam perancangan bandar mengikut hasil keputusan Majlis Perancangan Fizikal Negara 2023.

”Data pelaksanaan kajian PISMA di Malaysia menunjukkan bahawa sebanyak 32 kawasan telah menyelesaikan pelaksanaan projek ini, manakala tujuh kawasan dalam proses penyediaan kajian dan 10 kawasan masih dalam proses perancangan,” katanya.

Kor Ming juga memberitahu faktor banjir kilat di negara ini adalah kerana perubahan pola taburan hujan, kesan urbanisasi dan pembangunan tidak bersepadu, serta sistem saliran yang kapasitinya tidak mencukupi.

BACA JUGA ‘Hari-hari saya dapat aduan masalah air di Kedah’