Guru wanita cabul pelajar direhatkan hingga siasatan selesai
”Guru itu tiada langsung kaitan atau pun akses kepada para pelajar, dia direhatkan sehingga siasatan selesai.”
Itu komen Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berhubung seorang guru wanita yang didakwa mencabul seorang pelajar lelaki dalam kes tular baru-baru ini.
Dalam isu tersebut, Fadhlina menjelaskan, guru berkenaan perlu mematuhi sepenuhnya proses siasatan yang dijalankan pihak polis terlebih dahulu disusuli Kementerian Pendidikan (KPM).
”Ketika ini kami (KPM) mengambil pendekatan untuk melindungi anak-anak kita sepenuhnya.
”Jadi, guru itu tidak ada langsung kaitan atau pun akses kepada para pelajar, dia direhatkan sehingga siasatan selesai,” katanya lapor Astro Awani.
Pada 26 Mac lalu, KPM memaklumkan pihaknya akan mengambil tindakan terhadap guru wanita yang didakwa mencabul seorang pelajar lelaki jika siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof dilaporkan berkata, pihaknya telah merakam keterangan guru berusia 37 tahun itu.
Ibu mangsa membuat laporan polis pada 12 Disember lalu, mendakwa suspek mencabul anaknya ketika mengulang kaji pelajaran di perpustakaan.
BACA JUGA Atasi masalah banjir kilat, rupanya inilah jumlah peruntukan yang kerajaan salurkan
Â