KPN beri amaran hentikan isu stoking tertera kalimah Allah

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberi amaran supaya tidak ada lagi pihak mengambil tindakan menyalahi undang-undang dan memperbesarkan lagi isu berhubung kes stoking tertera kalimah Allah.

Tegasnya, Malaysia mempunyai undang-undang dan semua perlu mematuhi undang-undang itu walaupun isu berkenaan menimbulkan rasa marah umat Islam di negara ini.

Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah pun selesai menjalankan siasatan berhubung kes itu dan pelakunya juga sudah dibawa ke muka pengadilan.

“Seperti yang dikatakan Datuk Seri Shuhaily (Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman) sebelum ini, kes ini sudah selesai.

“Maka tak payahlah kita nak memperbesarkan lagi isu stoking dengan kalimah Allah. Saya nasihatkan supaya isu-isu sebegini tidak lagi dimainkan.

“Ia akan mendatangkan kegusaran dan ketidaktenteraman, itu perkara yang tidak baik,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kejadian kedai serbaneka KK Mart di Jalan Bruseh, Bidor, Perak dibaling ‘molotov coctail’ atau bom petrol, 26 Mac lalu.

Jenayah itu susulan insiden 13 Mac lalu, yang mana tular dalam media sosial stoking tertera kalimah ‘Allah’ dijual di KK Super Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

BACA JUGA Dua daerah di Sabah ini cipta rekod paling lama tak dapat hujan