Nanas MD2 Malaysia masuk ke pasaran Jepun

Pasaran nanas MD2 kini bakal diperluaskan lagi ke Jepun dengan penghantaran pertama dijangka pada 6 Jun depan.

Menerusi video di TikTok @sheikhomarali yang juga Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), penghantaran buah-buahan tempatan itu akan mengambil masa kira-kira 12 hari melalui jalan air.

“Memorandum persefahaman (MoU) antara Awana Asia Sdn Bhd yang merupakan syarikat penanaman nanas berpengkalan di Johor, dengan CGC Japan yang merupakan syarikat penjenamaan dan pemasaran produk yang bertapak di Tokyo.

“Menerusi memorandum ditandatangani itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk meneroka peluang usahaniaga secara Pembuatan Peralatan Asli (OEM) bagi produk nanas MD2,” demikian menurut kapsyen di video tersebut.

Pada 18 September tahun lalu, Sheikh Umar berkata pasaran nanas MD2 telah diperluaskan ke Osaka, sekali gus menyumbang kepada peningkatan jumlah eksport negara.

Sebagai permulaan, beliau berkata sebuah kontena dengan muatan 4,355 biji nanas segar dari ladang milik Aqina Fruits Sdn Bhd di Pekan Nanas, Johor telah dieksport ke negara matahari terbit itu dengan sebahagiannya akan dihantar ke Osaka.

Jepun adalah negara yang telah lama mengimport nanas tempatan dan kali ini LPNM dan syarikat telah berjaya menembusi pasaran Osaka selain Tokyo sebelum ini.

BACA JUGA Sempena Aidilfitri, tol percuma 8 dan 9 April