Polis tahan lelaki Israel bersama 6 pucuk senjata api, 200 peluru
Polis menahan seorang lelaki Israel berusia 36 tahun di sebuah hotel di Jalan Ampang dan merampas enam senjata api bersama 200 butir peluru.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, berkata suspek itu mendakwa menyasarkan seorang lagi rakyat Israel atas alasan pertelingkahan keluarga.
Namun, polis masih menjalankan siasatan lanjut.
Susulan penahanan itu, polis meningkatkan keselamatan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan orang kenamaan lain, di tengah-tengah sokongan tidak berbelah bahagi negara ke atas Palestin terhadap serangan berterusan Israel di Gaza.
“Kebimbangan kita berdasarkan isu Palestin-Israel. Kita juga waspada terutama keselamatan Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong dan pegawai-pegawai, orang kenamaan yang kita perlu ambil kira,” katanya kepada media.
Dalam masa sama, Razarudin tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai “agenda lain”.
Siasatan polis juga menumpukan kepada sama ada suspek benar-benar ejen Israel ekoran dipercayai dia tidak beroperasi bersendiri.
Razarudin berkata, suspek mendakwa membeli semua senjata api melibatkan pelbagai model termasuk Sig Sauer, Glock-27, dan Smith and Wesson, ketika berada di Malaysia.
Suspek yang direman sehingga 31 Mac mendakwa transaksi dibuat menerusi mata wang kripto.
Polis masih menyiasat pihak menjual senjata dan bagaimana ia diseludup ke Malaysia.
Menurut Razarudin, siasatan mendapati lelaki itu masuk ke negara ini menggunakan pasport Perancis dan ketika disoal lanjut, dia menyerahkan pasport Israel.
“Kita dapati suspek mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12 Mac dari Emiriah Arab Bersatu.
“Dia mendakwa sedang mencari seorang lelaki Israel, yang dikatakan untuk dibunuh kerana pertelingkahan keluarga,” katanya.
Tambah Razarudin, lelaki Israel itu menginap di tiga hotel berasingan sebelum ditahan.
BACA JUGA ‘Hari-hari saya dapat aduan masalah air di Kedah’