9.84 juta rakyat Malaysia sudah daftar PADU, dakyah penentang tidak berkesan

Jumlah rakyat Malaysia yang sudah mengemaskini maklumat dalam Pangkalan Data Utama (PADU) meningkat kepada 9.84 juta, setakat semalam.

Kementerian Ekonomi hari ini menerusi Facebook rasmi memberitahu seramai 600,000 individu mendaftar PADU kelmarin.

“Seperti yang dijangka, pendaftaran PADU mengalami peningkatan mendadak pada hari-hari terakhir.

“Walaupun ada sedikit konotasi negatif yang wujud di kalangan warga maya akibat ketidakfahaman isu atau yang sengaja mencari publisiti, rakyat Malaysia secara amnya tidak terkesan.

“Buktinya, 600,000 rakyat Malaysia pada 29 Mac 2024 mendaftar secara atas talian atau hadir ke kaunter fizikal,” menurut kenyataan itu.

Turut dikongsi gambar mengenai keadaan kaunter fizikal oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di beberapa tempat.

“Segala penat lelah kakitangan DOSM mencari setiap warganegara Malaysia untuk didaftarkan dalam masa 3 bulan sahaja wajar diberi pujian.

“Untuk semua rakyat Malaysia, elakkan daripada tercicir pemberian subsidi bersasar nanti.

“Layari PADU.gov.my sekarang untuk mendaftar,” seru pihak Kementerian Ekonomi lagi.

Pada 2 Januari lalu, PADU dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pangkalan data utama negara berkaitan maklumat asas demografi, pendidikan, pekerjaan, pendapatan, komitmen dan bantuan yang diterima rakyat.

PADU bertujuan bagi penghasilan analitik berkala dan digitalisasi tanpa ketirisan, menggubal dasar dan proses membuat keputusan berpacukan data serta mengimbangi kedudukan fiskal menerusi pelaksanaan dasar secara bersasar.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata penyasaran semula subsidi nanti akan menggunakan maklumat yang ada dalam sistem PADU.

BACA JUGA Ini cara hilang mengantuk semasa solat Tarawih