‘Ini fitnah jahat kepada MB Sanusi’

Tular di media sosial poster ‘nakal’ tertera gambar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk program ‘Majlis Perasmian Litar Rakyat’.

Menteri Besar Kedah itu diuar-uarkan akan ‘merasmikan’ Litar Horizon Beranang yang terletak di Hulu Langat, Selangor.

“Tahniah NuC, akhirnya berjaya juga NuC tunaikan Greater Kedah di Negeri Selangor,” usik seorang pengguna TikTok.

Litar Horizon Beranang yang akan dibuka secara rasmi April depan dikatakan bakal menjadi fenomena baharu dalam dunia perlumbaan di Lembah Klang.

Difahamkan, perancangan awal pembinaan litar di Hulu Langat itu berjalan pada 2022 dan kerja-kerja pembinaan bermula Julai 2023.

Ini bermakna belum cecah setahun Litar Beranang sepanjang satu kilometer itu siap dilengkapi pit, ruang penonton, kawasan pakir kenderaan dan kafe.

Berbeza di Kedah, majlis menandatangani perjanjian dan pelancaran Litar Lumba Sungai Petani yang disaksikan sendiri oleh Sanusi telah pun dimeterai pada Ogos 2022.

Ketika itu, Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berkata, pelan asal yang dirancang oleh kerajaan negeri adalah Litar Lumba Rakyat tetapi sembangnya telah “dinaiktaraf” kepada Litar Lumba Antarabangsa.

Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani, kata Sanusi, bakal dibangunkan di tanah milik Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI) di kawasan seluas 60 hektar.

Walaupun pada masa itu, Sanusi memberitahu bahawa litar bernilai RM75 juta itu “bakal dibina dalam tempoh terdekat” tetapi sehingga tahun 2024 ini projek itu tinggal hanya mimpi.

BACA JUGA Malaysia jadi pemain global isu Palestin dan kemanusiaan