Kes lelaki Israel 200 peluru: Beberapa individu lagi bakal disiasat

Selepas sepasang suami isteri dan pemandu ditahan, polis akan mengambil tindakan terhadap beberapa lagi individu berhubung penahanan lelaki Israel bersama enam senjata api dan 200 peluru hidup.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihak polis sudah mengenal pasti beberapa nama untuk tindakan mereka.

“Kita berjaya menemukan semua senjata yang beliau miliki dan tinggal sekarang polis buat pengumuman penangkapan beberapa lagi yang terbabit…

“… akan ada lagi pemantauan pihak polis selepas hasil soal siasat itu mendapati ada lagi individu yang disyaki terbabit.

“Jadi, pada peringkat sekarang, kita serah kepada kebijaksanaan pasukan polis untuk buktikan betul atau tidak kedatangan lelaki itu seperti yang disebut atau yang lain, semua dalam rangka soal siasat,” jelasnya, dipetik Bernama.

Saifuddin berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penerapan nilai-nilai murni dan ihya Ramadan sempena ulang tahun ke-11 Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) di Lahad Datu hari ini.

Negara digemparkan dengan penahanan seorang lelaki warga Israel berusia 36 tahun yang memiliki enam pucuk pistol dan 200 peluru hidup di sebuah hotel di Jalan Ampang di Kuala Lumpur pada 27 Mac lalu.

Polis menemukan senjata api jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta peluru di dalam beg miliknya.

Siasatan polis mendapati semua senjata itu dibeli suspek sebaik tiba di negara ini dengan menggunakan mata wang kripto.

Lelaki yang menggunakan pasport perjalanan Perancis untuk masuk ke Malaysia pada 12 Mac itu juga dilaporkan mendaftar masuk ke hotel lima bintang, membeli-belah di sebuah pusat beli-belah mewah di ibu negara serta makan di restoran lima bintang.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, keamanan, ketenteraman awam dan keselamatan rakyat di negara ini adalah terjaga.

“Beri ruang pada polis, ini kerja polis, buat masa sekarang semua pihak, termasuk jelata elak buat alasan dan spekulasi.

“Saya yakin dengan kemajuan siasatan polis kerana tangkapan warga Israel ini yang gunakan pasport perjalanan Perancis berjaya dikesan dengan senjata dalam tempoh 48 jam,” tambah Saifuddin lagi.

Sementara itu, lapor Harian Metro memetik sumber, lelaki Israel itu turut bertemu dan bermesyuarat dengan beberapa individu lain di hotel lima bintang di ibu negara ketika berada di negara ini.

Semalam, pasangan suami isteri berusia 42 dan 40 tahun ditahan di bazar Ramadan di Kuala Selangor.

Kedua-duanya mengakui membeli senjata di Thailand sebelum diserahkan kepada lelaki warga Israel terbabit.

BACA JUGA Lebih 3,000 ancaman serangan siber setiap hari, siapa mahu bolosi sistem keselamatan negara?