Lebih 3,000 ancaman serangan siber setiap hari, siapa mahu bolosi sistem keselamatan negara?
Lebih 3,000 ancaman serangan siber setiap hari ke atas Malaysia yang mahu membolosi sistem keselamatan negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata ancaman keselamatan terhadap negara bukan sahaja wujud dalam bentuk fizikal, malah ancaman keselamatan siber.
“Setiap hari, serangan siber terhadap negara adalah lebih 3,000 insiden.
“Jika ia (serangan) berjaya menggodam sistem kita, mereka (penggodam) dapat masuk untuk mengintip, mendengar dan meninjau pergerakan, perbualan kita terutama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan operasi ketenteraan sebagainya.
“Serangan dan usaha ini dilakukan untuk masuk ke dalam sistem negara kita oleh pelbagai pihak. Siapa pihaknya, kita tak perlu beritahu.
“Namun, saya nak beritahu bagaimana anggota ATM berkerja 24 jam sehari, tujuh hari seminggu tanpa cuti bagi menjaga kedaulatan negara bagi dibolosi secara fizikal dan ancaman serangan siber ini,” katanya, lapor BH.
Beliau berkata demikian selepas meninjau Blok Rumah Keluarga Angkat Tentera (RKAT) Desa dan Lapang Sasar Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), di Johor Bahru, hari ini.
BACA JUGA Malaysia jadi pemain global isu Palestin dan kemanusiaan