Sah! Enam ketul tulang milik Bella, dua tulang lagi masih belum jumpa
Selepas sebulan dianalisis di Jabatan Kimia, akhirnya enam ketul tulang yang ditemui dekat rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah sah milik Bella atau Mila Sharmila Samsusah.
Kakak Bella, Norhisham, 36, mengesahkan perkara itu selepas keluarganya menerima laporan forensik daripada Hospital Sultan Ismail (HSI) malam tadi.
Kesemua tulang itu ditemui pemandu jengkaut berhampiran lokasi penemuan rangka Bella yang mati dibunuh teman lelakinya pada jam 11.30 pagi, 28 Februari lalu.
Menurut Norhisham, keputusan mengenai tulang ditemui itu sudah diperoleh dan mereka sekeluarga dimaklumkan ia milik arwah Bella.
“Sekali lagi perasaan kami bercampur aduk, sebak, sedih, kecewa dan marah semua ada. Bila agaknya luka di hati kami akan pulih,” katanya, dipetik BH.
Susulan itu, Norhisham akan membuat tuntutan tulang terbabit di HSI hari ini dan akan dikebumikan di kubur Bella di Tanah Perkuburan Islam Banang Jaya, Batu Pahat.
Dalam masa sama, beliau sekeluarga berharap tulang kaki dan tulang belakang yang hilang dijumpai secepat mungkin.
“Satukanlah anggota arwah dan lengkapkan seperti mana yang lain dan saya juga sentiasa mendoakan supaya keadilan untuk arwah Bella dapat ditegakkan.
“Sesungguhnya kami semua sangat rindukan Bella…. rindu yang paling dalam dan tiada penghujungnya.” kata Norhisham lagi.
Kes pembunuhan Bella seorang ibu tunggal dua anak itu menggemparkan negara dengan rangka miliknya tidak sempurna ditemui di rumah sewa terbiar selepas 36 hari kehilangannya.
Bella, 32, dilaporkan hilang pada malam 14 Disember tahun lalu dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dia keluar ke dobi bersama seorang teman lelaki.
Dia kemudiannya dipercayai dibunuh teman lelakinya, Mohammad Haikal Mahfuz, 24, yang kini sedang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
BACA JUGA Suami isteri pembekal senjata, pemandu kepada lelaki Israel sudah ditahan
Â