Senjata api yang dijual kepada lelaki Israel rupanya dibeli di Thailand
Suami isteri yang ditahan polis di bazar Ramadan di Kuala Selangor malam tadi rupanya membeli senjata di Thailand sebelum dijual kepada lelaki warga Israel.
Pasangan masing-masing berusia 42 dan 40 tahun itu dipercayai bersekongkol dengan membekalkan senjata api kepada lelaki Israel yang memasuki Malaysia menggunakan pasport Perancis.
Lapor BH memetik sumber, menerusi hasil soal siasat, suami isteri terbabit mengakui membeli senjata di Thailand dan diserahkan kepada seorang lelaki rakyat Israel itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilapor berkata, siasatan lanjut masih berjalan di semua sudut bagi mengesan mereka yang terbabit dalam kes itu.
Semalam, sejurus pasangan suami isteri itu ditahan, polis membawa suspek ke kediaman mereka, di Kuala Selangor.
Polis kemudian menemui sepucuk pistol dalam sebuah beg galas dalam kereta Honda Jazz milik mereka.
Terdahulu, polis turut menahan seorang lelaki tempatan di Cameron Highlands, Pahang, yang dipercayai pemandu kepada warga Israel terbabit sejak memasuki negara ini pada 12 Mac lalu.
Motif utama warga Israel terbabit memasuki negara ini masih dalam siasatan polis selain tujuannya memiliki enam pistol dan 200 butir peluru.
Dia yang menggunakan pasport Perancis masuk ke negara ini ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang, 27 Mac lalu.
Semasa pemeriksaan dilakukan oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, dia kemudiannya memberikan satu lagi pasport miliknya yang mempunyai taraf kewarganegaraan Israel.
Pemeriksaan di bilik hotel itu menemukan senjata api jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sih Sauer dan Stoeger serta peluru yang diletakkan di dalam beg.
Kesemua senjata berkenaan dibeli suspek sebaik tiba di negara ini dengan menggunakan mata wang kripto.
Lelaki berusia 36 tahun berkenaan mendakwa datang ke Malaysia untuk mencari seorang individu yang juga rakyat negara pengganas itu.
Suspek yang direman sejak 27 Mac hingga esok itu menyatakan mahu membunuh individu yang dicarinya itu kononnya berkaitan isu keluarga.
Walau bagaimanapun, polis tidak mempercayai dakwaan tersebut.
Polis percaya suspek tidak bergerak bersendirian dan mungkin mempunyai rangkaian dengan individu tertentu yang masih belum dikenal pasti.
Dia telah masuk ke negara ini menaiki penerbangan melalui Emiriyah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia.
Warga Israel itu juga dipercayai berpindah randah dan tinggal di dua atau tiga hotel berlainan sebelum diberkas.
BACA JUGA Suami isteri pembekal senjata, pemandu kepada lelaki Israel sudah ditahan
Â