Akhbar Israel lapor rakyatnya datang ke Malaysia untuk balas dendam, bunuh pemimpin seteru

Sebuah akhbar dari Israel, melaporkan rakyatnya yang ditahan polis bersama enam pistol serta 200 butir peluru di sebuah hotel, datang ke Malaysia untuk membunuh ketua keluarga yang menjadi pesaing kepada Musli Brothers.

Menurut The Times Of Israel, berdasarkan laporan berita berbahasa Ibrani, suspek Shalom Avitan yang ditahan merupakan salah seorang ahli kepada kumpulan jenayah terancang Musli Brothers.

Berdasarkan laporan portal berita Mako pula, Avitan dipercayai mempunyai misi untuk membunuh Eran Haya iaitu ketua pesaing kepada Musli Brothers.

Sebelum ini dilaporkan rumah Avitan pernah diserang oleh orang Haya di Tel Aviv.

“Kedua-dua sindiket terbabit dalam perbalahan ganas selama berbulan-bulan. Menurut Saluran 12, rumah Avitan, di kejiranan mewah Bavli, Tel Aviv, adalah sasaran beberapa bom tangan yang dilemparkan oleh ‘orang’ Haya.

“Insiden itu dilaporkan pada pertengahan Mac, dipercayai sebelum Haya dikatakan memasuki Malaysia,” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mengesahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang lelaki warga Israel bersama enam pistol serta 200 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang Rabu lalu.

Lelaki berusia 36 tahun itu dikesan masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 Mac lalu dengan menggunakan pasport Perancis.

Enam senjata api yang ditemui dalam bilik hotel suspek adalah jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru yang diletakkan dalam beg miliknya.

Razarudin dilaporkan berkata, hasil soal siasat, suspek mendakwa dia datang ke negara ini untuk mencari seorang individu yang juga rakyat negaranya untuk dibunuh kononnya berkaitan isu keluarga, namun polis tidak mempercayai dakwaannya itu.

Pihak polis bagaimanapun masih menjalankan siasatan dan berkemungkinan suspek mempunyai agenda lain datang ke negara ini.

BACA JUGA Peniaga menangis khemah diarah tutup gara-gara Diva AA joget di Ekspo Baling