Larang anak-anak sebut perkataan kafir, Fadhlina buka mulut pasal situasi sebenar

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek tidak berdiam diri apabila videonya berkaitan isu kafir diambil dari luar konteks sehingga tular di media sosial.

Beliau dalam satu kenyataan di Facebook hari ini menegaskan video tular itu telah diambil di luar konsensus dan diselewengkan konteks dengan cubaan jahat mahu mencalarkan imej serta kredibiliti beliau.

Fadhlina menyifatkan penularan video itu turut berniat mencetuskan kekecohan dalam isu berkaitan 3R (agama, bangsa dan institusi raja) dengan memercikkan pemesongan makna ucapan sebenar sehingga beliau ditohmah dengan ujaran kebencian, tuduhan tidak benar dan fitnah selain diancam keselamatan.

“Saya sebutkan, bahawa saya tidak membenarkan anak-anak saya menyebut istilah ‘kafir’ yang mempunyai konotasi kebencian terhadap warga non-Muslim (bukan Muslim) yang hidup bersama-sama dalam negara tercinta.

“Isu sebutan ‘kafir’ atau ‘non-Muslim’ bukanlah tindakan saya melarang penggunaan perkataan dalam al-Quran, apatah lagi menafikan istilah yang digunakan dalam al-Quran,” katanya dalam hantaran itu.

Video yang tular didakwa diambil daripada pertemuan tertutup beliau dengan kumpulan tertentu, yang telah dirakam dan ditularkan dengan tafsiran di luar konteks untuk mencipta polemik dan bersifat fitnah.

Dalam acara tersebut, beliau telah menyinggung perihal sentimen kebencian, sikap ghuluw dan gejala takfiri dalam kalangan segelintir masyarakat, sehinggakan beliau pernah dituduh hidup tidak berkat kerana bekerja untuk orang kafir.

Atas sebab itu jelasnya, dia mengatakan bahawa perkataan kafir dengan niat sengaja mencetuskan konotasi jahat kepada orang bukan Islam, tidak dibenarkan.

Fadhlina yang juga Ketua Wanita PKR berkata, pada mulanya beliau tidak berhasrat untuk menjawab isu yang tular kerana mereka yang mendengar ucapan itu dapat menilai konteks sebenar yang hendak disampaikan.

Namun, disebabkan sentimen video tular itu telah menimbulkan ancaman keselamatan terhadap beliau dan keluarga, maka beliau tidak boleh berkrompromi.

“Rakan menasihatkan agar laporan polis dibuat atas faktor keselamatan. Kumpulan peguam menyarankan tindakan undang-undang dan sivil kepada mereka terlibat. ⁠

“Peguam juga sedang mengumpulkan bukti menerusi media sosial. Kelihatan banyak pengguna media sosial telah bertindak di luar kawalan termasuk terlalu melampau dalam bereaksi,” katanya.

Dalam kenyataan itu, Fadhlina juga memohon maaf jika telah mengguris perasaan mana-mana pihak atas kesalahfahaman, keterlanjuran kata dan kehilafan dari dirinya.

Semalam, Setiausaha Politik Menteri Pendidikan Atiqah Syairah Shaharuddin membuat laporan polis di Kuching, Sarawak berhubung penularan video tular dan gambar poster Fadhlina itu yang didakwa telah disunting serta bersifat fitnah sehingga menimbulkan reaksi negatif netizen.

BACA JUGA Akhbar Israel lapor rakyatnya datang ke Malaysia untuk balas dendam, bunuh pemimpin seteru