Akmal, jangan lempar batu sembunyi tangan, bertanggungjawablah…

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Salleh digesa bertanggungjawab di atas ketegangan masyarakat ekoran seruannya untuk memboikot syarikat kedai serbaneka, KK Mart.

“Dr Akmal Saleh seolah-olah masih berdegil dan sehingga kini beliau masih berdalih dan tidak mengakui kesan disebabkan keghairahan dan keterlanjurannya dalam isu ini,” kata ketua penerangan Angkatan Muda Keadilan Nabil Halimi.

“AMK menggesa Dr Akmal Saleh untuk mengambil tanggungjawab atas ketegangan masyarakat yang semakin berlarutan yang mula disemarakkan menerusi gesaan beliau untuk memboikot perniagaan tersebut.

“Agama Islam harus ditegakkan dengan hikmah dan bukannya dengan kemarahan yang berlebihan. Janganlah kerana sikap melampau kamu, negara ini binasa. Sabda Nabi Muhammad SAW “Awasilah kamu dalam melampau dalam beragama, karena binasanya orang-orang sebelum kamu adalah disebabkan sikap melampau mereka dalam beragama” (Riwayat Ibn Hibban).

“Pemimpin muda harus radikal menjadi penyatu idealisme bangsa Malaysia dan bukannya menjadi pemecah fabrik sosial negara ini yang sudah dibina dengan asas yang kukuh oleh bapa-bapa negara bangsa Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan ini dibuat susulan dua kejadian serangan menggunakan molotov cocktail. Terbaharu adalah serangan di Pahang. Serangan pertama berlaku di Bidor.

Serangan tersebut berlaku dalam keadaan di mana Akmal menyeru masyarakat Malaysia memboikot kedai tersebut. Ini kerana beberapa pasang sarung kaki dengan kalimah Allah dijumpai dijual di salah satu cawangan KK Mart.

Susulan itu, KK Mart dan syarikat pembekal sarung kaki telah didakwa di mahkamah di bawah seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana mengguris sentimen masyarakat Islam.

Akmal turut mempertahankan pendiriannya dan sanggup mengorbankan kedudukannya sebagai ketua pemuda demi mempertahankan agama Islam.

BACA JUGA: KK Mart, pembekal stoking dihadap ke mahkamah esok pagi