AMANAH tidak bersama gerakan ’emosi’ boikot KK Mart

AMANAH menegaskan pendiriannya tidak akan bersama dengan gerakan memboikot rantaian kedai serbaneka KK Super Mart susulan kontroversi stoking dengan lambang kalimah Allah.

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad berkata, tindakan gelojoh dan emosi tanpa usul periksa telah menyebabkan kemarahan dituju kepada pemilik rantaian kedai berkenaan sehingga berlaku insiden tidak diingini.

Beliau juga menegur individu yang ingin menjadi ‘juara’ tanpa mengambil peduli sama ada tindakan dan hasutan mereka adalah adil atau sebaliknya. 

“Semua berpaksikan emosi dan pendekatan gelojoh tanpa usul periksa.

“Ini hanya menguntungkan pelaku sebenar kerana matlamatnya adalah untuk menghasilkan ketegangan dan huru-hara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perkembangan itu hadir susulan dua kejadian serangan menggunakan molotov cocktail di mana yang terbaharu berlaku di Kuantan, Pahang. Serangan pertama berlaku di Bidor, Perak pada 26 Mac lepas.

Kejadian dipercayai berpunca daripada isu penjualan stoking tertera kalimah Allah hingga suspek melakukan perbuatan khianat.

Mengulas lanjut Khalid berkata, AMANAH akan sentiasa bertindak berpaksikan prinsip keadilan, tabayyun dan siasat terlebih dahulu dan tidak akan bertindak secara gelojoh tanpa usul periksa atau dipandu emosi semata-mata.

Kata bekas ahli Parlimen Shah Alam itu, Al-Quran mengajar kita untuk “tabayyun” terlebih dahulu supaya tidak akan berlakunya tindakan terlajak sehingga menzalimi pihak yang tidak bersalah.

Khalid merumuskan bahawa matlamat sebenar dalang di sebalik insiden tersebut adalah untuk mengeruhkan lagi suasana politik negara dengan drama “Islam terancam dan tidak dihormati” serta hubungan antara kaum dan agama dijadikan semakin tegang.

“Keadaan sebegitu akan menguntungkan pihak tertentu kerana persepsi “Islam terancam” dan ketegangan kaum serta agama adalah suatu kelebihan pada mereka.

“Malangnya apa yang dilihat sedang berlaku sekarang adalah reaksi beremosi tanpa adanya satu usaha untuk menganalisa keadaan dan kemungkinan-kemungkinan di sebalik peristiwa ini.” ujarnya.

Dalam pada itu, Khalid yang juga bekas Menteri Wilayah berkata, adalah lebih baik jika insiden yang berlaku disiasat terlebih dahulu sebelum menghukum.

“Kami ingin menasihati semua, khususnya umat Islam dan orang Melayu, supaya jangan mudah terpengaruh dengan apa yang kemungkinan besar adalah mainan jahat golongan yang berkepentingan atau berniat jahat,” katanya lagi.

BACA JUGA Nabi sendiri pun tak panggil orang kafir itu kafir – Ustaz Azhar Idrus