‘Kerajaan negeri cuma arah henti hiburan, penganjur yang pilih tutup ekspo’
Kerajaan negeri Kedah menafikan pihaknya ada mengarahkan penganjur Fiesta Raya Baling 2024 supaya para peniaga menutup sepenuhnya operasi perniagaan di karnival tersebut.
Sebaliknya kata Exco negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mansor Zakaria, pihaknya hanya mengarahkan agar penganjur menghentikan aktiviti hiburan.
Menurutnya, operasi karnival itu boleh diteruskan namun keputusan menutup program tersebut adalah keputusan pihak penganjur sendiri.
“Pilihan kepada penganjur, bukan paksaan untuk tutup karnival berkenaan, kerajaan negeri hanya menegur dan minta hentikan aktiviti yang tidak bersesuaian dengan Ramadan sahaja.
“Kita tegaskan kepada penganjur hentikan pengisian program yang tidak sihat seperti hiburan, bukannya tutup ekspo itu,” katanya memetik Harian Metro hari ini.
Semalam, Harapan Daily melaporkan salah seorang peniaga di karnival berkenaan tidak dapat menahan rasa sedih selepas Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri Kedah didakwa telah mengarahkan agar ekspo di tapak itu ditutup serta merta dalam tempoh 48 jam.
Ia selepas seorang selebriti terkenal tanah air, Diva AA dirakam sedang menari ala dangdut di atas pentas bersama beberapa orang lelaki lain, dan telah melanggar garis panduan ditetapkan PBT.
Perbuatan adik kepada pemimpin Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu sekaligus menyebabkan peniaga terpaksa menanggung kerugian kerana terpaksa menutup perniagaan mereka.
Dalam perkembangan terbaru, Mansor berkata pihaknya bersimpati kepada peniaga yang terbabit dalam karnival itu dan percaya keputusan penganjur menutup karnival itu selepas meneliti beberapa kriteria memandangkan lokasi penganjuran kurang mendapat sambutan.
“Kita simpati terhadap peniaga namun penganjur sepatutnya tahu batas-batas kerana kita sudah tegaskan malah surat arahan Pihak Berkuasa Tempatan kepada penganjur untuk hormati Ramadan,” katanya.
Dalam pada itu, Mansor berharap Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak diheret bersama dalam insiden berkenaan.
“Selaku Exco berkaitan, saya mohon maaf atas apa yang berlaku dan mengambil tanggungjawab kerana isu ini bawah portfolio saya,” katanya.
BACA JUGA AMANAH tidak bersama gerakan ’emosi’ boikot KK Mart
Â