Pelaburan asing 2023 meningkat lebih berbanding 2022

Negara mencatatkan pelaburan asing berjumlah RM188.4 bilion pada tahun lepas, peningkatan sebanyak 15.3 peratus berbanding 2022, kata Timbalan Menteri Pelaburan Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

pelaburan domestik juga turut menyumbang sebanyak RM141.1 bilion, peningkatan sebanyak 35.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Katanya pelaburan asing menyumbang sebanyak 57.2 peratus daripada keseluruhan jumlah pelaburan RM329.5 bilion yang diluluskan pada 2023 manakala pelaburan domestik mewakili 42.8 peratus.

“Kita ingin memastikan jumlah pelaburan yang telah diluluskan dapat direalisasikan secepat mungkin dan membawa limpahan yang tinggi kepada ekonomi negara.

“Dengan merealisasikan pelaburan yang diluluskan, ia dapat memberi peluang pekerjaan yang lebih baik dengan kadar gaji yang lebih tinggi kepada rakyat Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini ketika menjawab soalan Senator Datuk Lim Pay Hen

Lim ingin tahu jumlah pelaburan yang telah berjaya dimeterai oleh kerajaan sepanjang tahun 2023.

Menurut Liew, negara sebelum ini mencatatkan jumlah pelaburan yang tinggi tetapi tidak mempunyai pendekatan penyetempatan.

“Kali ini, kerajaan berhasrat untuk memastikan pelaburan yang masuk menjana pekerjaan yang baik dan gaji lebih tinggi serta penyetempatan diusahakan supaya pengusaha tempatan dapat manfaat daripada pelaburan asing,” katanya.

BACA JUGA: Tengku Zafrul letak jawatan bendahari Umno Selangor