Tengku Zafrul letak jawatan bendahari Umno Selangor
Tengku Zafrul Aziz telah meletakkan jawatan sebagai bendahari Umno Selangor berkuatkuasa hari ini.
Beliau telah dilantik memegang jawatan tersebut pada 12 April 2023.
Peletakan jawatannya itu didorong oleh pelbagai faktor. Antaranya ialah Umno negeri tidak tangkas membuat perubahan segera dan kebergantungan kepimpinan negeri kepada pusat
“Natijahnya, jika sesebuah parti tidak ada keberadaan yang kuat di Selangor – parti itu sukar digelar sebuah parti nasional atau parti untuk masa depan.
“Untuk mengelak hakikat ini, strategi ampuh sepatutnya perlu dirangka dengan ketetapan yang sesuai dengan realiti semasa. Keputusan pilihan raya negeri di Selangor tahun lepas sewajarnya menjadi tanda jelas bahawa sesuatu perubahan perlu dilaksanakan dengan segera.
“Antara lain, tawaran kepada pengundi Selangor harus dibina dengan lengkap – diuji dan disemak dengan pemegang taruh.
“Kerjasama dengan parti-parti lain mesti diperkuat, bukannya dilemahkan atas angan-angan bahawa masalah Umno terletak pada hubungannya dengan parti lain, apatah lagi sedangkan hubungan itu sudah wujud di peringkat pusat,” kata beliau yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
“Begitu banyak bergantung kepada sikap dan pendekatan kepimpinan UMNO negeri. Saya melihat sendiri bagaimana Presiden UMNO dan kepimpinan nasional tidak henti merangka jalan kebangkitan parti di peringkat pusat.
“Namun, sejauh mana hebat perencanaan pusat, yang melaksana ada di negeri dan ke bawah.
“Saya tak mampu mengulas buat negeri lain, tetapi untuk negeri saya Selangor, pelaksanaan itu hambar malah ada ketika tidak sehaluan dengan tema di pusat.”
BACA JUGA: Nak beli saham? Ini komen Tengku Zafrul