Pendaftaran PADU ditutup, Perlis, Kelantan paling tinggi mendaftar
Perlis dan Kelantan menjadi negeri paling tinggi penduduknya yang mendaftar maklumat mereka dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) selepas ia ditutup jam 11.59 malam tadi.
Menerusi pecahan pendaftaran mengikut negeri seperti lampiran dikongsi Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, Perlis dan Kelantan masing-masing mencatatkan peratusan tertinggi penduduk yang berdaftar iaitu 66.9 peratus dan 65.2 peratus.
Ia diikuti Terengganu (62.7 peratus); Perak (60.3 peratus); Pahang (59.7 peratus); Kedah (58.9 peratus); Wilayah Persekutuan Putrajaya (56.5 peratus); Negeri Sembilan (56.2 peratus).
Selain itu, Wilayah Persekutuan Labuan (55.2 peratus); Melaka (53 peratus); Pulau Pinang (52.9 peratus); Sabah (52.8 peratus).
Sementara empat negeri selebihnya pula merekodkan pendafatran PADU di bawah 50 peratus iaitu Johor (48.4 peratus); Kuala Lumpur (47.6 peratus); Sarawak (46.7 peratus) dan yang terakhir adalah Selangor sebanyak 44.5 peratus.
Rafizi berkata setakat semalam, seramai 11.55 juta atau 52.6% warganegara berumur atas 18 tahun telah berjaya mendaftar dan mengemaskini profil diri di sistem PADU.
“Ini menjadikan 17.65 juta (58.7%) keseluruhan profil rakyat, termasuk ahli isi rumah bawah 18 tahun, yang berjaya dikemaskini di sistem PADU,” katanya.
Kepada warganegara yang tidak berjaya mendaftar dan mengemaskini profil di PADU, data pentadbiran yang sedia ada adalah mencukupi dan akan digunakan untuk kerajaan menentukan kelayakan individu bagi tujuan penyasaran semula subsidi.
Sekiranya ada keperluan, Kementerian Ekonomi akan mengumumkan pembukaan semula PADU untuk tempoh yang singkat bagi pendaftaran dan pengemaskinian, setelah kerajaan membuat keputusan bentuk dan mekanisme subsidi bersasar.
“Kementerian Ekonomi seterusnya akan membentangkan perancangan penyasaran semula subsidi kepada jemaah menteri dalam bulan April.
“Sebarang pengumuman berkenaan hal ini akan diumumkan oleh kerajaan pada masa yang akan datang,” tambahnya lagi.
BACA JUGA ‘Kerajaan negeri cuma arah henti hiburan, penganjur yang pilih tutup ekspo’
Â