Bakal mulakan pemerintahan sebenar, ini fakta tentang Sultan Ibrahim yang anda tak tahu
Siapa tidak kenal dengan ketegasan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Baginda digeruni sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat tetapi tegas, lantang dan berani bersuara.
Baru-baru ini Sultan Ibrahim bertitah bahawa tempoh ‘bulan madu’ bakal tamat tidak lama lagi, dan baginda akan memulakan cara pemerintahan yang sebenar.
“Kurang dari dua minggu lagi, akan genap dua bulan saya memegang tampuk Ketua Negara. Apabila habis tempoh “bulan madu” ini…, saya akan mulakan cara pemerintahan saya yang sebenar,” titah Seri Paduka Baginda.
Baginda Sultan sememangnya seorang pemerintah yang cukup dikenali. Populariti dimiliki baginda dalam kalangan rakyat Malaysia juga tidak dapat disangkal.
Artikel kali ini, kami akan senaraikan 5 fakta menarik tentang Sultan Ibrahim yang ramai tidak tahu. Artikel ini memetik rangkuman laporan Majoriti.
1. Hobi unik simpan koleksi tongkat kayu
Sultan Ibrahim turut menyimpan hobi pelbagai hobi unik dengan antara yang mencuri tumpuan pastinya kegemarannya untuk mengumpul koleksi lebih 200 tongkat kayu terdiri daripada pelbagai reka bentuk dan saiz.
Lebih menarik, kesemua tongkat yang dimiliknya itu dihasilkan secara tempatan dan mempunyau lambang khas ‘SI’.
Tongkat yang berada dalam koleksi baginda diperbuat diperbuat daripada kayu cendana, giam, papan lantai kayu istana-istana lama dan termasuk kayu landasan kereta api.
Menerusi perkongsiannya mengenai hobi berkenaan, Sultan Ibrahim turut bertitah bahawa baginda sering meluangkan masa untuk membersihkan tongkat-tonggkat berkenaan yang disusun secara kemas dan teratur.
2. Suka memasak, miliki menu kegemaran yang ‘simple’
Bagi yang sentiasa mengikuti perkongsian dibuat Sultan Ibrahim di sosial media, anda pastinya akan perasan dengan kegemarannya untuk memasak ketika mempunyai waktu terluang.
Malah, baginda juga tidak lokek untuk berkongsikan menu istimewa kepada orang ramai yang menonton videonya.
Antara hidangan yang pernah diketengahkan Sultan Ibrahim adalah kari kepala ikan kerapu, kari Jepun, Briyani Lobster, gulai nenas dan nasi goreng istimewa.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai makanan kesukaan baginda, Sultan Ibrahim dilihat mempunyai cita rasa yang agak ringkas.
Antara menu kegemaran baginda yang selalu dipesan khususnya ketika mencemar duli bersantapan pagi bersama orang ramai ialah roti canai kari kambing dan ayam serta minuman halia ‘o’ ais.
3. Memiliki lesen pandu kereta api
Pada 2010, Sultan Ibrahim berjaya mencipta rekod Malaysia Book of Records apabila menjadi Sultan pertama di Malaysia yang memiliki Lesen Memandu Lokomotif Berkuasa tinggi.
Tidak menunggu lama untuk menunjukkan kemahirannya, baginda pada tahun sama turut berkenan memandu kereta api ketika program Kembara Mahkota Johor (KMJ2010).
Sementara itu, pada 26 Mac 2017, Sultan Ibrahim berkenan memandu kereta api sewaan khas dengan melakukan perjalanan sejauh 296 kilometer dari Stesen Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) JB Sentral, Johor Bahru ke Stesen KTMB Kuala Lumpur.
Lebih menarik, tiga hari kemudian, baginda turut berkenan bagi berangkat pulang dengan kereta api tersebut bagi jarak yang sama bagi menyempurnakan pemanduan buat kali ke-16.
4. Berkhidmat dengan Kerajaan Negeri Johor
Sedar akan tanggungjawabnya sebagai raja pemerintah di Johor, baginda turut pernah berkhidmat bersama kerajaan negeri.
Langkah itu diambil bagi membolehkan baginda mempelajari selok-belok pengurusan dan pentadbiran negeri.
Semasa tempoh tersebut, baginda ditempatkan antaranya di tempat yang pernah mendapatkan khidmat Sultan Ibrahim adalah di Pejabat Setiausaha Kerajaan, Pejabat Perbendaharaan, Pejabat Tanah, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Pertanian
5. Miliki latihan ketenteraan meluas
Selain berkhidmat dalam pentadbiran negeri, Sultan Ibrahim turut memiliki penglibatan yang cukup meluas dalam aktiviti ketenteraan bermula sejak daripada tamat waktu persekolahan.
Menurut portal rasmi Kerajaan Negeri Johor, baginda dilantik sebagai platun komander ketika menjalani latihan ketenteraan di Pusat Latihan Tentera Darat di Kota Tinggi.
Selepas daripada itu, Sultan Ibrahim menerima jemputan khas untuk mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan di untuk pegawai muda di Fort Benning, Georgia, Amerika Syarikat (AS).
Sultan Ibrahim turut melakukan beberapa penerjunan di Bandung, Indonesia sebelum ditauliahkan sebagai ahli kehormat Komando Pasukan Khusus (KOPASSUS) negara itu.
BACA JUGA Khairul Aming bawa ‘staff’ beli baju raya, tapi sampul penuh duit pula buat netizen ternganga