Khairul Aming bawa ‘staff’ beli baju raya, tapi sampul penuh duit pula buat netizen ternganga

Chef selebriti yang juga usahawan Sambal Nyet, Khairul Aming mencuri perhatian ramai selepas berkongsi video meraikan kesemua 100 orang pekerjanya dengan membelikan mereka persiapan Hari Raya Aidilfitri.

Tidak hanya itu, pemilik nama Khairul Amin Kamaruzzaman juga sempat membawa para pekerjanya ke pasar raya untuk berbelanja barang dapur, dengan kos semuanya ditanggung oleh pempengaruh itu.

“Kita tutup kedua-dua kilang sebab nak raikan kesemua pekerja kita sempena hari raya yang bakal menjelma.

“Macam-macam aktiviti yang kami buat, pertama sekali kita bawa dia orang ‘shopping’ baju raya tapi penuh sikitlah satu kedai sebab pekerja saya dah makin ramai, hampir 100 orang.

“Lepas dah ‘settle’, saya bawa dia orang pergi pasar raya sebab nak mereka beli barang dapur untuk keluarga buat persiapan hari raya.

“Masa ini semua telefon isteri dan mak ayah tanyakan barang apa lagi yang tak cukup di rumah, ‘best’ sangat tengok dia orang ‘shopping’,” katanya menerusi video berdurasi satu minit yang dimuat naik.

Bagaimanapun, apa yang menarik perhatian ramai adalah sifat pemurah dan tidak kedekutnya seorang majikan yang memberi bonus kepada pekerjanya.

Dalam sampul berwarna coklat, kelihatan lebih 20 keping duit not RM50 dan nilai not RM100 yang diberikan kepada pekerjanya.

Ramai seronok melihat isi duit raya yang berkepuk-kepuk dalam sampul berkenaan, sehingga ada yang menganggarkan jumlah bonus raya yang diberikan Khairul Aming sekitar RM3,000 hingga RM5,000 seorang.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata meninggalkan komen positif dengan cara Khairul Aming menghargai para pekerjanya.

Mereka juga mendoakan anak kelahiran Kelantan itu moga terus dimurahkan rezekinya.

BACA JUGA Rugi teruk walau berniaga di Jalan TAR, dengar apa kata bekas peniaga pasar malam ini

Â