Rugi teruk walau berniaga di Jalan TAR, dengar apa kata bekas peniaga pasar malam ini

Sejak dua menjak ini tular kembali keratan artikel lama berkenaan peniaga bazar Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) yang menanggung kerugian teruk sehingga menyifatkan ia adalah yang terburuk dalam tempoh 50 tahun.

Sehingga kini artikel yang diterbitkan pada 2023 itu menarik perhatian ramai dan dibincangkan meluas di media-media sosial.

Salah seorang bekas peniaga pasar malam, Edy Noor Reduan turut mengulas, menjelaskan bahawa para peniaga kini perlu mengikut trend baharu dengan menceburkan diri dalam perniagaan atas talian.

Menurutnya, kebanyakan peniaga jalan TAR yang menjual makanan dan minuman di kawasan itu memperoleh keuntungan yang baik, manakala peniaga pakaian, kasut dan aksesori pula kebiasaannya akan terkesan dengan perubahan trend perbelanjaan orang ramai.

Ini kerana selepas Covid-19, rakyat semakin jarang keluar untuk berbelanja barang kelengkapan raya disebabkan wujudnya platform beli belah seperti Lazada, Shoppee dan TikTok Shop.

Dia sendiri mengakui terkesan ketika platform-platform ini muncul.

“Dahulu saya bekerja di pasar malam Pantai Dalam, pasar malam Taman median, pasar pagi Bazarina di Shah Alam. Saya menghabiskan masa muda saya untuk berniaga sebagai pendapatan yang kedua.

“Bila masuk tahun 2016, saya menukar rentak apabila mula berniaga secara atas talian. Saya berniaga melalui iklan di Facebook.

“Masa itu baru ada platform Lazada. Shoppee belum ada lagi. TikTok shop lagi lah tak ada. Hinggalah munculnya Shoppee, saya tidak mampu lagi nak bersaing kerana persaingan sangat kuat,” katanya di TikTok.

Kata Edy, jika para peniaga mahu mengekalkan perniagaan mereka, nak tak nak mereka perlu juga mulakan jualan secara atas talian 

“Kalau saya nak terus berniaga atas talian, saya perlu cebur ke Shoppee dan TikTok Shop. Itu jawapannya

“Itulah juga sebabnya peniaga di Jalan TAR mengalami kerugian yang teruk. Rakyat bukan tak berbelanja, mereka banyak berbelanja tapi melalui platform atas talian,” katanya.

BACA JUGA Walaun raikan kekalahan Erdogan yang perjuang Palestin