Rumah Terbuka Aidilfitri empat Perdana Menteri, ini ceritanya…
Sepanjang Syawal, pastinya banyak jemputan menghadiri rumah terbuka akan diterima oleh golongan masyarakat di negara ini.
Lazimnya rumah terbuka Aidilfitri Perdana Menteri paling meriah kerana di situ dapat dilihat pelbagai golongan masyarakat berkumpul meraikannya bersama-sama dengan pelbagai jenis juadah disediakan secara percuma.
Bukan sahaja datang menjamu selera, malah pemimpin menganjurkan rumah terbuka bertujuan mengeratkan lagi tali perhubungan antara pihak kerajaan dengan pelbagai lapisan masyarakat.
Menurut laman Tiktok PakDaniNews, rumah terbuka Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tahun lalu dikategorikan sebagai kos terendah berbanding kerajaan sebelum ini.
Menerusi infografik yang disediakan, rumah terbuka Anwar yang diadakan di Seri Perdana, di Putrajaya membelanjakan kos RM6.3 juta.
Bekas Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula, membelanjakan RM11 juta ketika jamuan Aidilfitri di lokasi sama pada 2021.
Bagaimanapun, ketika pentadbiran Tan Sri Mahiaddin Yassin pada 2020, tiada sambutan rumah terbuka diadakan berikutan dunia dan negara dilanda wabak Covid-19 ketika itu.
Dua tahun sebelumnya, iaitu ketika pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ketujuh itu membelanjakan RM10 juta untuk jamuan rumah terbuka beliau, juga di lokasi sama iaitu di Seri Perdana.
BACA JUGA Tular mesej tersusun dakwa tiada tilawah al-Quran tahun ini